Untung bersih SD Guthrie susut 17% kepada RM773 juta pada 3QFY2026

LocalBusiness & Finance
5 Nov 2026 • 2:52 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih SD Guthrie susut 17% kepada RM773 juta pada 3QFY2026 Image from: Untung bersih SD Guthrie susut 17% kepada RM773 juta pada 3QFY2026 hamden05/11/2026 - 14:52 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Nov - SD Guthrie Bhd (SDG) merekodkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 17% kepada RM773 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (3QFY2026), berbanding RM935 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pengeluar minyak sawit terbesar dunia berdasarkan keluasan ladang itu turut mencatatkan hasil lebih rendah sebanyak 0.3% tahun ke tahun kepada RM5.39 bilion bagi suku berkenaan berbanding RM5.41 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Dalam kenyataan hari ini, kumpulan itu bagaimanapun kekal optimis terhadap prospek prestasinya bagi baki tahun kewangan 2026, disokong jangkaan harga minyak sawit yang terus berdaya tahan.

 

"Kumpulan berada pada landasan untuk mencatatkan prestasi kukuh bagi tahun ini, dengan harga minyak sawit dijangka kekal stabil dan berpotensi mencatatkan peningkatan sehingga 2027," katanya. 

 

SD Guthrie mengaitkan penurunan itu dengan sumbangan keuntungan yang lebih rendah daripada segmen pembangunan perindustrian, pertengahan (midstream) dan hiliran (downstream).

 

Kos kewangan meningkat

Kumpulan memaklumkan kos kewangan meningkat 121 peratus tahun ke tahun berikutan pengeluaran pinjaman bagi menebus sukuk kekal bernilai RM2.2 bilion pada Mac, yang diklasifikasikan sebagai ekuiti dalam suku perbandingan.

 

Bagaimanapun, berdasarkan perbandingan setara, kos kewangannya adalah RM8 juta lebih rendah berbanding kos pembiayaan RM50 juta, termasuk agihan sukuk kekal yang direkodkan setahun sebelumnya.

 

Ini disebabkan baki pembiayaan yang lebih rendah serta kadar pembiayaan purata yang menurun kepada 4.3 peratus berbanding 4.8 peratus sebelum ini.

 

Keuntungan lebih rendah

Segmen pertengahan mencatatkan keuntungan lebih rendah sebanyak RM99 juta berbanding RM123 juta dalam tempoh sama tahun lalu, terutamanya disebabkan margin lebih rendah daripada operasi pukal Asia Pasifik.

 

Keuntungan sebelum cukai segmen hiliran pula merosot kepada RM1 juta berbanding RM31 juta berikutan margin lebih rendah daripada operasi produk terbeza di Asia Pasifik dan Eropah, selain peningkatan bahagian kerugian daripada sebuah syarikat usaha sama.

 

Segmen perindustrian kumpulan turut merekodkan keuntungan sebelum cukai lebih rendah sebanyak RM81 juta pada suku dikaji berbanding RM432 juta tahun lalu, disebabkan sumbangan lebih rendah daripada pelupusan tanah.

 

Sebaliknya, segmen huluan mencatatkan peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak 48 peratus kepada RM935 juta.

 

Prestasi itu disokong harga purata jualan direalisasi minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit yang masing-masing meningkat tiga peratus dan tujuh peratus.

 

Peningkatan itu turut didorong pengeluaran buah tandan segar (BTS) yang meningkat lapan peratus kepada 2.48 juta tan, hasil penambahbaikan operasi kumpulan di Malaysia dan Indonesia.

 

Prestasi sembilan bulan

Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan, kumpulan merekodkan keuntungan lebih tinggi sebanyak RM2.32 bilion berbanding RM2 bilion pada tahun sebelumnya, manakala hasil mencatatkan penurunan kepada RM15.03 bilion berbanding RM15.4 bilion.

 

Pengerusi SD Guthrie, Tan Sri Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani berkata, prestasi keuntungan mampan yang dicatatkan kumpulan dalam tempoh dikaji didorong pelaksanaan strategi secara berdisiplin merentasi operasi perniagaan globalnya.

 

"Saya yakin dengan strategi dan visi pertumbuhan kepimpinan baharu serta keupayaannya untuk memberikan nilai kepada para pemegang saham," katanya.

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SD Guthrie, Mohd Haris Mohd Arshad berkata, kumpulan sekali lagi mencatatkan satu lagi tempoh pertumbuhan keuntungan yang kukuh.

 

"Walaupun perladangan kekal sebagai teras strategi keseluruhan SD Guthrie, kami memberi tumpuan kepada pembangunan enjin pertumbuhan pelengkap yang dapat meningkatkan daya tahan keuntungan, mewujudkan nilai jangka panjang yang mampan serta meletakkan kumpulan pada kedudukan lebih baik untuk pertumbuhan masa depan sebagai sebuah syarikat perniagaan tani global," katanya. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved