
PETALING JAYA – Seorang pengunjung Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menerima tip AS$100 (kira-kira RM408) selepas menumpangkan seorang warga asing menaiki motosikalnya.
Menerusi perkongsian di Threads, lelaki menggunakan nama akaun @luqmanzlhkm itu kemudian berseloroh mahu menjual tiket K1 Grandstand Blok G miliknya dan menjadi ‘rider’ selepas perlumbaan tamat kerana melihat peluang memperoleh pendapatan lumayan.
“Rasa macam nak jual tiket K1 Grandstand Blok G. Tempat memang cantik.
“Nak ‘standby’ (bersedia) jadi rider lepas habis ‘race’ (perlumbaan). Untung-untung dapat 100 dolar lagi,” tulisnya.
Difahamkan, lelaki berkenaan membawa motosikal ke SIC dan sebelum itu telah menumpangkan seorang warga asing sebelum diberikan tip sebanyak AS$100 sebagai tanda penghargaan.
Dia turut memuat naik gambar wang kertas AS$100 yang diterimanya selain berkongsi pemandangan perlumbaan dari tempat duduknya di K1 Grandstand.
Perkongsiannya mendapat perhatian pengguna media sosial dengan ada yang turut berseloroh menawarkan RM120 untuk membeli tiket berkenaan.
“Wah rezeki ni, saya nak beli dengan harga RM120,” komen Mus.
“Peh lebih RM300, balik modal beli tiket F1 kalau jumpa 10 warga asing macam ni,” komen Wan pula.
Kosmo! sebelum ini melaporkan beberapa pengguna media sosial menawarkan perkhidmatan dikenali sebagai ‘F1 Moto Ride’ bagi membawa pengunjung dari kawasan Petronas berhampiran SIC ke lokasi parkir masing-masing selepas acara.
Antaranya mengenakan caj RM50 bagi setiap penumpang, manakala seorang lagi menawarkan perkhidmatan sama pada kadar RM80 seorang.
Terdapat juga individu menawarkan perjalanan dari Petronas bertentangan SIC ke Mitsui Outlet Park dengan caj RM20, selain perjalanan ke Mitsui Outlet Park atau kawasan parkir Bandar Enstek pada kadar RM40 sehala dan RM60 bagi perjalanan dua hala. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Untung-untung dapat 100 dolar lagi’ appeared first on Kosmo Online.

![[VIDEO] 4 jam bersesak tunggu bas belum jumpa jalan pulang](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-02-at-10.29.23-PM-1024x766.jpeg)




