
KETIKA urutan Thai dan Bali begitu sinonim dengan industri pelancongan negara masing-masing, urutan Malaysia dilihat berpotensi menjadi identiti tersendiri negara dalam memperkenalkan warisan dan seni urutan tempatan kepada pelancong asing.
Menyedari potensi itu, Nurtaj Spa & Beauty menjadikan urutan Malaysia sebagai rawatan utama selain berusaha memperkenalkan sejarah dan keunikannya menerusi galeri khas yang diwujudkan di premis berkenaan.
Pemiliknya, Selinastein Mohd. Rashid berkata, urutan Malaysia bukan sekadar rawatan untuk kesihatan dan relaksasi, sebaliknya mempunyai nilai budaya yang boleh diketengahkan sebagai produk pelancongan negara.
Menurutnya, Tourism Malaysia di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) telah memperkenalkan urutan Malaysia sekian lama, namun masih ramai masyarakat tempatan termasuk sebahagian penggiat industri spa kurang mengenalinya.
“Biasanya apabila kita bercakap mengenai urutan, orang akan terus teringat urutan Thai atau Bali. Sedangkan kita juga mempunyai urutan Malaysia yang mempunyai identiti tersendiri.
“Sebab itu saya mewujudkan galeri urutan Malaysia untuk menceritakan sejarah dan teknik urutan ini kepada pengunjung, khususnya pelancong asing. Setakat ini, saya belum melihat spa lain yang mempunyai galeri sebegini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Spa Malaysia berkata, urutan Malaysia menggabungkan empat teknik iaitu Melayu, Cina, India dan Orang Asli.
Katanya, rawatan itu dimulakan dengan ritual pembukaan termasuk teknik pernafasan dan urutan kepala sebelum rendaman kaki, diikuti urutan badan.
“Semua kakitangan saya disijilkan dalam urutan Malaysia dan latihan hanya diberikan oleh jurulatih utama yang diiktiraf.
“Saya mahu semua orang bercakap mengenai urutan Malaysia kerana kita perlu menjadi duta kepada produk tempatan ini,” katanya.

Selain mengetengahkan identiti tempatan, Nurtaj Spa & Beauty turut mengutamakan pendekatan tradisional dalam rawatan kecantikan dengan tidak menggunakan mesin, termasuk bagi rawatan wajah.
Sebaliknya, rawatan dilakukan secara manual menggunakan kompres panas, tuala panas, urutan wajah, spa ball dan roller, selain penggunaan minyak urutan berkualiti tinggi serta minyak pati tulen.
Menariknya, spa berkenaan turut mengamalkan konsep mesra Muslim dengan menyediakan ruang rawatan berasingan untuk lelaki dan wanita serta memastikan pelanggan lelaki dirawat oleh juruterapi lelaki.
Dalam pada itu, Selinastein berkata, pihaknya turut memberi penekanan terhadap pembangunan tenaga kerja tempatan dengan menjalin kerjasama bersama institusi Pendidikan dan Latihan
Teknikal dan Vokasional (TVET) serta universiti yang menawarkan program wellness.
Katanya, sepanjang 11 tahun mengendalikan operasi di Kuala Lumpur, hampir 200 pelajar menjalani latihan industri bersamanya sebelum sebahagiannya diserap bekerja atau disalurkan kepada spa lain yang diiktiraf.

“Pasukan adalah aset paling penting dalam perniagaan spa, sebab itu saya mahu memastikan anak muda yang belajar dalam bidang wellness dan kecantikan mendapat pendedahan di premis yang betul dan diiktiraf,” katanya.
Bagi pengunjung, urutan Malaysia juga menawarkan manfaat kesihatan selain memberikan ruang untuk tubuh dan minda berehat.
Selinastein berkata, urutan sekurang-kurangnya sebulan sekali wajar dijadikan sebahagian daripada penjagaan diri kerana ia membantu melancarkan peredaran darah dan memberikan kesan relaksasi kepada tubuh.
“Spa bukan lagi sekadar kemewahan atau kehendak untuk cantik. Ia sepatutnya dilihat sebagai satu keperluan untuk menjaga diri, mengurangkan tekanan dan memberi ruang kepada tubuh untuk berehat.
“Dalam masa sama, kita mahu pelancong yang datang ke Malaysia membawa pulang pengalaman yang tidak boleh mereka dapat di tempat lain. Kalau Thailand ada urutan Thai dan Bali ada urutan Bali, Malaysia juga perlu bangga dengan urutan Malaysia,” katanya.
Nurtaj Spa & Beauty turut menawarkan pelbagai rawatan tradisional termasuk lulur, bertungku, bertangas, mandi bunga, mandi herba, rawatan wajah, manicure dan pedicure, selain pakej khas untuk sambutan hari lahir, bachelorette party dan reunion.
Dengan usaha memperkenalkan urutan Malaysia sebagai pengalaman spa yang menggabungkan kesihatan, kecantikan dan budaya, beliau berharap lebih banyak spa tempatan menjadikannya sebahagian daripada tawaran utama kepada pelanggan.
“Ini bukan sekadar tentang urutan. Ini tentang bagaimana kita memperkenalkan Malaysia kepada dunia melalui sesuatu yang kita sendiri ada,” katanya.
Selain lokasi utama di Menara Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Kuala Lumpur, Nurtaj Spa & Beauty kini dibuka di Mercure Living Putrajaya, Menara Shaftsbury dan menerima pengiktirafan bintang daripada Motac serta Mesra Muslim menerusi Islamic Tourism Centre (ITC).
Jenama yang diasaskan pada 2015 itu juga pernah menerima pengiktirafan The Best Muslim-Friendly Spa pada World Islamic Tourism Award 2023.
The post Urutan Malaysia angkat identiti negara sebagai produk pelancongan appeared first on Utusan Malaysia.






