Usaha kurangkan kerenah birokrasi jimat kos RM3.7 bilion setakat Oktober 2026

LocalPolitics
19 Nov 2026 • 2:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Usaha kurangkan kerenah birokrasi jimat kos RM3.7 bilion setakat Oktober 2026 Image from: Usaha kurangkan kerenah birokrasi jimat kos RM3.7 bilion setakat Oktober 2026 amree19/11/2026 - 14:10 SHAMSUL AZRI Abu Bakar meninjau pameran Reformasi Kerenah Birokrasi di Shah Alam, Selangor pada 28 Oktober 2026. - Gambar FB Shamsul Azri Abu Bakar Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Nov — Usaha kerajaan mengurangkan kerenah birokrasi berjaya menjimatkan kos pematuhan sebanyak RM3.71 bilion setakat 30 Oktober 2026, sekali gus memberi ruang kepada sektor perniagaan meningkatkan kecekapan operasi dan daya saing.

 

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, pencapaian itu dicatatkan menerusi inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) yang menyaksikan sebanyak 1,703 projek didaftarkan, dengan 654 daripadanya berjaya diselesaikan.

 

Tambah beliau, pelaksanaan RKB sejak dilancarkan pada 24 November 2024 bertujuan mengurangkan kos pematuhan, memendekkan tempoh kelulusan serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif.

 

Menurutnya, kerajaan komited meningkatkan tahap produktiviti ekonomi dan tenaga kerja menerusi pendekatan kerajaan secara keseluruhan (whole-of-government) dengan memperkukuh aspek kerjasama antara kementerian, agensi, kerajaan negeri serta sektor swasta.

 

"Inisiatif ini memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan perniagaan, pengurangan beban kawal selia, pembangunan kemahiran pekerja dan penggunaan teknologi bagi mewujudkan ekonomi yang lebih produktif serta berdaya saing," kata Tze Tzin.

 

Beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) mengenai usaha kerajaan Persekutuan meningkatkan produktiviti ekonomi dan tenaga kerja di seluruh negara pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada Khamis.

 

MPC_DagangNes2026

 

Dalam pada itu, beliau menambah, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) turut melaksanakan Program Peningkatan Produktiviti melalui Pemerkasaan Tenaga Kerja dan Transformasi Industri (PPTI).

 

Program bagi meningkatkan produktiviti di peringkat firma serta pekerja itu merangkumi dua pendekatan utama, iaitu pendidikan tidak formal dan akademi berasaskan industri demi melahirkan tenaga kerja yang lebih mahir serta memenuhi keperluan sebenar sektor industri.

 

"Kedua-dua program itu berjaya menghasilkan ramai pekerja yang berkemahiran tinggi, meningkatkan lagi tahap produktiviti dan potensi memperoleh pendapatan lebih baik, selain mengurangkan kebergantungan industri terhadap pekerja asing," jelas beliau.

 

Tze Tzin berkata, pembangunan kemahiran tenaga kerja menjadi antara keutamaan kerajaan dalam memastikan peningkatan produktiviti bukan sahaja memberi manfaat kepada syarikat, malah diterjemahkan kepada peluang pendapatan lebih tinggi kepada pekerja.

 

Justeru ujar beliau, kerajaan akan terus memastikan pertumbuhan produktiviti disusuli peningkatan pendapatan pekerja serta kesejahteraan rakyat, selaras sasaran Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan RKB yang dilancarkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

 

Usaha berkenaan mencerminkan pendekatan kerajaan untuk memperkukuh daya saing ekonomi negara melalui pengurangan beban peraturan, pendigitalan perkhidmatan dan pembangunan modal insan, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih cekap bagi perniagaan dan pelaburan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved