Ustaz Mad Kecik kini sah bergelar suami, sifat sederhana dan detik jodoh aturan guru sentuh hati peminat

LocalLifestyle
22 May 2026 • 5:50 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Ustaz Mad Kecik kini sah bergelar suami, sifat sederhana dan detik jodoh aturan guru sentuh hati peminat

DETIK bahagia yang dinanti-nantikan akhirnya tiba jua apabila pendakwah selebriti yang cukup dikenali dengan kelantangan dan kelembutan dakwahnya, Ustaz Muhammad Abdullah, kini sah bergelar suami.

Pada usia 33 tahun, figura yang lebih mesra disapa sebagai Ustaz Mad Kecik ini memilih gadis pilihan hati, Nor Suhada Mohd Azam, 26, sebagai peneman hidup setianya.

Suasana hiba dan syukur menyelubungi majlis akad nikah yang berlangsung dengan penuh intim di kediaman pengantin perempuan yang terletak di Bukit Payung.

Walaupun Ustaz Mad Kecik sering menjadi perhatian ramai, namun untuk hari bahagianya ini, sebuah majlis yang serba ringkas dan sederhana menjadi pilihan bagi menghormati privasi dan kesucian sebuah ikatan.

Image from: Ustaz Mad Kecik kini sah bergelar suami, sifat sederhana dan detik jodoh aturan guru sentuh hati peminat

Memetik perkongsian abang kandungnya, Mohd Faizul Abdullah menerusi Harian Metro, pihaknya melahirkan rasa syukur apabila segala urusan berjalan lancar tepat jam 10 pagi.

Menurutnya, keputusan untuk mengadakan majlis secara kecil-kecilan ini dibuat bagi memastikan hanya ahli keluarga terdekat dan kenalan rapat sahaja yang berkumpul merayakan detik bermakna tersebut.

Menariknya, kisah cinta pasangan merpati dua sejoli ini tidak diikat oleh titipan cinta moden, sebaliknya bermula daripada asbab ilmu dan restu orang-orang soleh.

Rupa-rupanya, Nor Suhada merupakan seorang pelajar di Madrasah Darul Ansor yang terletak di Wakaf Tapai, Marang.

Hubungan murni ini mula bercambah apabila guru-guru di madrasah berkenaan mengambil inisiatif untuk mengaturkan pertemuan mereka, yang kemudiannya disambut baik oleh kedua-dua belah keluarga.

Peranan keluarga yang menjadi pembuka langkah utama inilah yang akhirnya mempermudahkan jalan buat mereka berdua sehingga selamat disatukan sebagai suami isteri.

"Pasangan UMK adalah pelajar Madrasah Darul Ansor, Wakaf Tapai, Marang dan perkenalan antara UMK dan pasangan ini diatur guru-gurunya.

Image from: Ustaz Mad Kecik kini sah bergelar suami, sifat sederhana dan detik jodoh aturan guru sentuh hati peminat

"Selain itu peranan keluarga juga pembuka langkah hingga termeterainya pernikahan antara UMK dan pasangan pada hari ini," ujarnya.

Selepas selesai majlis di pihak perempuan, debaran pastinya beralih pula ke majlis sebelah lelaki yang dijadualkan berlangsung pada 28 Mei depan.

Lokasi yang dipilih juga sangat istimewa dan dekat di hati pendakwah ini, iaitu di Madrasah Darul Zahraa yang terletak di Kampung Dura, Hulu Terengganu, sebuah institusi yang dibangunkan sendiri oleh Ustaz Mad Kecik untuk komuniti setempat.

Majlis sambut menantu itu nanti diadakan khusus bagi meraikan kehadiran orang baharu dalam keluarga mereka sekali gus berkongsi kesyukuran bersama anak-anak didik di sana.

Image from: Ustaz Mad Kecik kini sah bergelar suami, sifat sederhana dan detik jodoh aturan guru sentuh hati peminat

Di sebalik tirai perkahwinan ini, pihak keluarga sempat menitipkan rasa penghargaan yang tidak terhingga kepada seluruh masyarakat yang tidak putus-putus memberikan sokongan.

Doa-doa yang mengalir daripada orang ramai, bukan sahaja untuk kebahagiaan rumah tangga baharu ini tetapi juga untuk kelangsungan kerja-kerja dakwah yang digerakkan oleh Ustaz Mad Kecik, menjadi pembakar semangat buat mereka sekeluarga untuk terus berbakti.

View Original Article