amree18/09/2026 - 17:20 Jeti Tambatan Bot Pengkalan Utama di Tasik Kenyir, Terengganu. - Gambar hiasan kredit Ketengah Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Sept — Vestland Berhad memperoleh kontrak bernilai RM107.61 juta bagi kerja pembaikan cerun dan kerja berkaitan di kawasan tadahan takungan air di Terengganu, yang dijangka menyumbang positif kepada pendapatan kumpulan sehingga 2029.
Kumpulan itu berkata, surat penganugerahan (LOA) tender diraih menerusi anak syarikat milik tidak langsungnya, Vestland Infra Sdn Bhd (VISB) pada 18 September 2026 daripada Ambang Besar Sdn Bhd (ABSB) bagi melaksanakan projek berkenaan.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, kontrak tersebut merangkumi kerja pembinaan dan penyiapan pengukuhan kestabilan cerun serta kerja-kerja berkaitan di kawasan tadahan takungan di Terengganu.
"Kerja kontrak dijadualkan bermula 2 Oktober 2026 dan perlu disiapkan menjelang 11 Mei 2029, dengan membabitkan tempoh pelaksanaan selama lebih dua setengah tahun," jelas Vestland.
Kontrak itu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh ditetapkan, dengan andaian tiada kelewatan material terhadap jadual pelaksanaan.
Projek berkenaan jelas kumpulan tersebut, turut menambah keterlihatan pendapatan syarikat dalam tempoh beberapa tahun akan datang, susulan tempoh kontrak yang berlanjutan sehingga Mei 2029.

ABSB merupakan syarikat persendirian berpangkalan di Kuala Lumpur yang diperbadankan di Malaysia dengan aktiviti utama meliputi kontraktor am, pegangan pelaburan dan perdagangan am.
"Kontrak berkenaan adalah dalam urusan biasa perniagaan VISB, dan syarikat tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa selain risiko operasi lazim berkaitan pelaksanaan kontrak," katanya.
Dari segi struktur korporat, kontrak tersebut tidak memberi kesan kepada modal saham terbitan atau pegangan pemegang saham utama Vestland kerana tiada penerbitan saham biasa baharu terlibat.
Ia turut mengesahkan bahawa tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak yang berkaitan dengan mereka mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan.
Lembaga Pengarah Vestland selepas mempertimbangkan semua aspek kontrak, berpandangan perolehan tersebut adalah demi kepentingan terbaik kumpulan, sekali gus mengukuhkan aktiviti dalam segmen pembinaan dan infrastruktur. - DagangNews.com






