Uzma terima kontrak bangunkan satelit penderiaan jarak jauh 

LocalTechnology
23 May 2025 • 10:11 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Uzma terima kontrak bangunkan satelit penderiaan jarak jauh

image is not available

23/05/2025 - 10:11

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 23 Mei – Uzma Bhd meraih kontrak satelit penderiaan jauh negara (PSPJN), iaitu projek kerjasama selama lapan tahun yang akan dilaksanakan menerusi perkongsian awam-swasta.

Projek itu merangkumi tiga tahun fasa pembangunan dan lima tahun operasi di orbit bumi rendah.

PSPJN merupakan komponen utama Dasar Angkasa Negara 2030 bagi memperkukuh infrastruktur angkasa negara serta meningkatkan keupayaan kendiri dalam memperoleh data penting melibatkan sektor strategik seperti pertanian, pengurusan bencana, pemantauan alam sekitar, dan keselamatan negara.

Syarikat berkata, projek itu akan menyediakan imej beresolusi tinggi dan multispektrum untuk pelbagai aplikasi strategik meliputi pemetaan sumber, pemantauan, keselamatan, pertanian, tindak balas bencana dan alam sekitar.

"Dengan kepakaran luas dalam teknologi satelit, penderiaan jauh, dan rumusan data geospatial, GeoAI berada pada kedudukan terbaik untuk memastikan kejayaan pembangunan, pelancaran, dan pelaksanaan satelit ini sejajar standard kebangsaan dari segi kualiti, kebolehpercayaan dan prestasi," katanya dalam satu kenyataan.

Anak syarikatnya, Geospatial AI Sdn Bhd (GeoAI), yang menawarkan perkhidmatan geospatial, akan mengendalikan aspek teknikal dan operasi projek satelit tersebut.

Dalam perkembangan berasingan, GeoAI telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Infrasel Sdn Bhd bagi potensi pemantauan cerun dan pengurusan risiko infrastruktur di Selangor menggunakan teknologi geospatial berasaskan satelit.

Infrasel ialah anak syarikat milik penuh Kerajaan Selangor di bawah Kumpulan Semesta Sdn Bhd dan terlibat dalam penyelenggaraan serta pembinaan jalan dan infrastruktur lain.- DagangNews.com

standard