Kes-kes wabak COVID-19 nampaknya telah mula meningkat di beberapa negara di seluruh dunia, dimana yang terdekat ialah Singapura dan Thailand, selain daripada Hong Kong, United Kingdom dan sebagainya.
Pihak komunikasi Kementerian Kesihatan telah menjawab pertanyaan seorang pengguna X/Twitter samada mereka masih membekalkan vaksin COVID-19 untuk rakyat. @KKMComms menjawab bahawa ya, pihak Kementerian Kesihatan terus membekalkan vaksin COVID-19 untuk rakyat Malaysia yang memerlukannya.

Mereka juga mengatakan bahawa vaksin yang dibekalkan kepada klinik-klinik kesihatan adalah varian terbaru yang dihasilkan oleh Pfizer, dan bukan stok lama, dan berkesan untuk jenis virus COVID-19 yang baru.
Perkara ini dipos semula oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad, dan bermakna bahawa anda kini boleh menggunakan aplikasi MySejahtera untuk menempah sesi suntikan vaksin di klinik-klinik kesihatan berdekatan anda yang menawarkan vaksin ini.
Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia juga telah mengeluarkan kenyataan tentang peningkatan jangkitan COVID-19 di negara-negara lain yang disebabkan oleh varian virus baru yang dinamakan Nimbus, yang masih belum dikesan di Malaysia. Menurut laporan tersebut juga, sebanyak 11,727 kes COVID-19 telah dilaporkan sepanjang minggu pertama hingga ke-19 pada tahun ini (10 Mei 2025).
Sebagai langkah berjaga-jaga, orang ramai dinasihatkan untuk memakai topeng pelitup muka, khususnya jika anda mudah dijangkiti dengan apa-apa penyakit apabila berada di khalayak ramai.




