amree24/09/2026 - 15:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Sept — VFive Group Sdn Bhd melihat penganjuran Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2026 awal Disember ini sebagai platform penting meningkatkan pembangunan bakat, dalam memastikan tenaga kerja seiring keperluan industri masa depan.
Menurut kenyataan syarikat berkenaan, perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), automasi dan sistem digital kini menuntut pekerja teknikal bukan sahaja perlu kompeten, malahan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi yang semakin pantas.
Pengasas dan Pengarah Urusan VFive, Datuk Mohd Syafiq Abdullah berkata, pasaran pekerjaan pada hari ini memerlukan lebih ramai bakat yang mampu beradaptasi dengan anjakan teknologi terbaharu, automasi semasa serta evolusi kemajuan sistem digital dan AI.
"Sehubungan itu, HPTN 2026 berperanan besar sebagai platform yang menghimpunkan pemain industri, institusi pendidikan, badan profesional dan generasi pelapis bakat teknikal bagi menggalakkan usaha kerjasama serta perkongsian kepakaran," jelas beliau.
Menyedari kepentingan itu, syarikat tersebut tampil sebagai Rakan Strategik Nasional Eksklusif HPTN 2026, sekali gus memperkukuh komitmennya terhadap pembangunan bakat teknikal, penerapan teknologi dan peningkatan daya saing industri tempatan.
Tambah Mohd Syafiq, penglibatan tersebut turut membuka ruang yang lebih luas kepada syarikat Bumiputera itu agar dapat segera untuk meningkatkan kapasiti, mengembangkan operasi dan membina keupayaan bagi bersaing dalam pasaran antarabangsa.

Ujarnya, penglibatan langsung VFive sebagai rakan strategik itu turut diiktiraf kerajaan menerusi penyampaian sijil penghargaan kepada Ketua Pegawai Perniagaannya, Noorazly Ja’alam pada Majlis Prapelancaran HPTN 2026 di Kuching, Sarawak, baru-baru ini.
"Kami berharap langkah penerapan teknologi perlu dilaksanakan seiring dengan pembangunan tenaga kerja supaya tahap produktiviti, kecekapan dan kualiti pelaksanaan sesuatu projek dapat terus ditingkatkan dengan lebuh baik pada masa depan," jelas beliau.
Kumpulan itu tambahnya, sedia bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan pembangunan bakat dan penggunaan teknologi bergerak seiring keperluan. HPTN 2026 bertemakan 'Profesion Teknikal Pemacu Kelestarian' berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak.
VFive terlibat dalam pembinaan, pengurusan fasiliti, teknologi maklumat (IT) serta tenaga boleh diperbaharui (RE) yang kini semakin dipengaruhi teknologi seperti AI, Internet Benda (IoT), Building Information Modelling (BIM), Digital Twin dan automasi.
Sebagai syarikat milik penuh Bumiputera dan beroperasi sejak 2012, ia mempunyai kepakaran dalam kerja pembinaan, pengurusan fasiliti, pembangunan hartanah, teknologi maklumat, konsesi, pembekalan am serta RE. - DagangNews.com






