[VIDEO] Ahmad Zahid serah tiga nama calon MB kepada Tuanku

LocalPolitics
2 Aug 2026 • 1:33 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: [VIDEO] Ahmad Zahid serah tiga nama calon MB kepada Tuanku

SEREMBAN – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan beliau telah menyerahkan tiga nama calon Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan untuk pertimbangan baginda.

Menurut beliau, tiga nama tersebut diserahkan menerusi warkah dan watikah rasmi ketika menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap di sini malam tadi.

“Saya baharu selesai menghadap Kebawah Duli Tuanku Yang di-Pertuan Besar dan kami telah mengadakan perbincangan yang panjang lebar. Saya telah menyerahkan warkah serta watikah dan mengemukakan tiga nama kepada Tuanku.

“Ketiga-tiga nama itu saya serahkan atas budi bicara, perkenan dan hak mutlak Tuanku untuk memilih salah seorang daripadanya sebagai Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi menghadap.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid enggan mendedahkan identiti tiga calon berkenaan dengan menjelaskan perkara itu adalah hak pihak istana untuk mengumumkannya.

Ketika ditanya sama ada semua calon yang dikemukakan daripada BN, beliau menjawab ringkas, “Alhamdulillah, semua calon BN.”

Mengulas mengenai pembentukan kerajaan negeri, Ahmad Zahid berkata, berdasarkan keputusan pilihan raya yang menyaksikan BN memperoleh 18 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi tujuh kerusi, kerajaan baharu akan dibentuk hasil kerjasama kedua-dua gabungan itu tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar.

“Atas perkenan Tuanku, kerajaan BN dan PN akan terbentuk sebagai kerajaan baharu Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pihak istana dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai pelantikan Menteri Besar dalam masa terdekat.

Sementara itu, mengulas dakwaan berlaku desakan supaya kediaman rasmi Menteri Besar dikosongkan segera susulan perubahan pentadbiran, Ahmad Zahid berharap perkara itu tidak berlaku.

“Semuanya sahabat-sahabat kita. Walaupun Menteri Besar baharu akan mengangkat sumpah secepat mungkin, kita perlu ada rasa perikemanusiaan dan etika untuk menghormati rakan-rakan kita,” ujarnya.

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam media sosialnya berkongsi, sejurus berakhirnya proses pengiraan undi bagi PRN Negeri Sembilan, beliau dititah menghada Tuanku Muhriz di lstana Hinggap, Seremban.

Dalam sesi menghadap tersebut, beliau mempersembahkan kepada Tuanku hasil keputusan pilihan raya serta kesepakatan yang dicapai antara BN dan PN.

“BN akan terus menjunjung tinggi, memelihara dan menghormati institusi diraja sebagai payung kedaulatan negeri, lambang perpaduan rakyat serta teras kepada sistem Raja Berperlembagaan.

“Semoga Allah SWT terus melimpahkan rahmat, kebijaksanaan dan inayah-Nya kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku dalam memayungi Negeri Sembilan serta seluruh rakyatnya. Daulat Tuanku,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Kosmo! Online | Akaun Rasmi (@kosmo_online)

The post [VIDEO] Ahmad Zahid serah tiga nama calon MB kepada Tuanku appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved