![Image from: [VIDEO] Anak saya diliwat lebih lima pelajar tahfiz](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-09-at-13.43.39-1024x682.jpeg)
KUALA LANGAT – Seorang pelajar tahfiz berusia 11 tahun didakwa menjadi mangsa liwat oleh lebih lima pelajar lain di sebuah pusat tahfiz di Banting, di sini.
Dakwaan mengejutkan itu dibuat ibu mangsa menerusi satu video yang dimuat naik di akaun Instagram milik pempengaruh, Caprice.
Menurut wanita berkenaan, dia mengetahui kejadian tersebut selepas anaknya memaklumkan kepadanya bahawa dia didakwa diliwat oleh beberapa pelajar lain di pusat tahfiz berkenaan.
“Saya seorang ibu yang menghantar anak saya berusia 11 tahun ke sebuah tahfiz di Banting. Saya dapat tahu daripada anak saya bahawa dia telah diliwat oleh lebih lima pelajar di sekolah tahfiz tersebut,” katanya.
Wanita tersebut turut memaklumkan pihak keluarga kini masih berusaha mendapatkan bukti dan saksi berhubung dakwaan berkenaan.
Sehubungan itu, dia merayu ibu bapa yang pernah menghantar anak mereka ke pusat tahfiz tersebut antara 2024 hingga tahun ini supaya bertanya kepada anak masing-masing sama ada pernah menjadi mangsa gangguan seksual atau perbuatan seumpama itu.
“Saya mohon kepada ibu bapa, sila tanya anak masing-masing jika mereka pernah diliwat atau mengalami gangguan seksual oleh pelajar di sekolah tersebut.
“Jika ada, saya mohon tampil ke hadapan dan hubungi kami,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya akan memanggil wanita tersebut bagj mendapatkan penjelasan berkaitan video tular tersebut. – KOSMO! ONLINE
View this post on Instagram
The post [VIDEO] Anak saya diliwat lebih lima pelajar tahfiz appeared first on Kosmo Online.





