Gempa susulan boleh berlarutan, gegaran masih boleh sampai Malaysia

LocalEnvironment
18 Aug 2026 • 6:27 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Gempa susulan boleh berlarutan, gegaran masih boleh sampai Malaysia

PETALING JAYA: Gempa bumi susulan yang melanda beberapa kawasan di Indonesia, berpotensi berlaku untuk tempoh beberapa hari, minggu, bulan malah bertahun.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, gempa bumi kuat lazimnya disusuli siri gempa bumi susulan yang berlaku di sekitar zon sesar sama sehingga pergerakan sesar kembali stabil.

Menurutnya, gempa susulan berkemungkinan terus berlaku dengan magnitud lebih rendah berbanding gempa utama.

“Sebagai contoh, gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 yang berlaku di Mindanao selatan, Filipina pada 8 Jun 2026, masih menghasilkan gempa bumi susulan sehingga ke hari ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohd Hisham berkata, gegaran daripada gempa bumi kuat yang berlaku di Sumatera, Filipina dan Sulawesi lazimnya boleh dirasai di beberapa kawasan di Malaysia, khususnya pantai barat Semenanjung dan timur Sabah.

Katanya, kekuatan gegaran yang dirasai di Malaysia bergantung kepada beberapa faktor termasuk magnitud, jarak dan kedalaman pusat gempa serta keadaan tanah di kawasan terjejas.

“Semakin kuat magnitud gempa, semakin kuat gegaran dirasai di sesuatu tempat, manakala kawasan yang lebih dekat dengan pusat gempa lazimnya mengalami gegaran lebih kuat.

“Kedalaman pusat gempa juga mempengaruhi kekuatan gegaran. Gempa yang lebih cetek, iaitu kurang daripada 100 kilometer, biasanya menghasilkan gegaran yang lebih kuat berbanding gempa yang lebih dalam,” katanya.

Mohd Hisham berkata, jenis batuan dan tanah turut mempengaruhi kekuatan gegaran yang dirasai, dengan tanah lembut berupaya menguatkan gelombang seismik sepanjang laluannya.

Beliau berkata, berdasarkan rekod MetMalaysia, beberapa daerah di timur Sabah pernah merasai gegaran akibat gempa bumi yang berlaku di Sulawesi, Indonesia dan Filipina.

Dalam pada itu, beliau menegaskan gempa bumi tidak boleh diramal lebih awal dari segi lokasi, kekuatan dan waktu kejadiannya.

“MetMalaysia sentiasa memastikan Sistem Amaran Awal Gempa Bumi dan Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM) berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi.

“Beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu bagi memantau sebarang aktiviti gempa bumi
serta potensi ancaman tsunami yang boleh memberi kesan kepada negara,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya kekal tenang serta mendapatkan maklumat dan arahan berkaitan gempa bumi serta tsunami hanya melalui saluran rasmi MetMalaysia. – UTUSAN

The post Gempa susulan boleh berlarutan, gegaran masih boleh sampai Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved