![Image from: [VIDEO] ‘Dalam loji pun nak memancing?’](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-23-at-6.13.18-PM-1024x766.jpeg)
PETALING JAYA – Tindakan sekumpulan individu dipercayai menceroboh kawasan sebuah loji kumbahan di Kulai, Johor untuk memancing mengundang kebimbangan dalam kalangan orang ramai.
Kejadian itu tular selepas seorang pengguna Threads, @anessa_annuar21 memuat naik rakaman menunjukkan beberapa individu berada di sekitar kolam dalam kawasan loji berkenaan.
Menurut wanita itu, dia menyedari kehadiran mereka ketika pulang dari tempat kerja sebelum terlihat beberapa orang berada di belakang rumahnya.
“Balik kerja nak basuh bekal, tengok-tengok belakang rumah nampak ramai orang. Kenapa mancing dekat loji? Tahu tak ini loji kumbahan,” tulisnya menerusi hantaran tersebut.
Menjawab persoalan pengguna mengenai akses ke kawasan tersebut, pemilik hantaran mendakwa pintu pagar loji sebenarnya berkunci, namun mereka dipercayai memanjat masuk dari bahagian tepi sebelum melalui ‘jalan tikus’.
“Berkunci memang berkunci, tapi mereka panjat dari tepi, ikut jalan tikus,” katanya.
Dalam pada itu, rata-rata pengguna media sosial melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan kumpulan terbabit selain menyarankan perkara itu dilaporkan kepada pihak berkuasa.
“Kalau nampak macam ini, telefon polis saja, biar polis bagi nasihat dekat mereka,” komen Arif.
“Kalau jatuh tu kan.. dalam tu 20 kaki tau.. sekali jatuh, yang dalam tu terus tarik kaki.. Faham-faham lah tempat kumbahan ada apa,” komen Hanisah. – KOSMO! ONLINE






