![Image from: [VIDEO] Dikejar anjing liar, pelancong terjun laut](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-26-at-11.57.31-1024x576.jpeg)
PETALING JAYA – Seorang pelancong terpaksa terjun ke dalam laut bagi menyelamatkan diri selepas dikejar sekumpulan anjing liar di Pantai Cenang, Langkawi, awal pagi semalam.
Kejadian sekitar pukul 6.58 pagi itu tular selepas rakamannya dikongsikan menerusi akaun TikTok @Langkawi Channel yang memaparkan kira-kira enam hingga lapan ekor anjing berkeliaran di kawasan pantai.
Berdasarkan rakaman tersebut, kumpulan anjing berkenaan kemudiannya dilihat mengejar dan mengerumuni seorang pelancong yang dipercayai sedang berjoging atau berjalan di tepi pantai.
Pelancong terbabit cuba menjauhkan diri sebelum terpaksa masuk ke dalam air laut bagi mengelak terus dikejar kumpulan anjing tersebut.
Beberapa ekor anjing berkenaan dilihat masih berada di tepian air dan menyalak ke arah pelancong itu sebelum kumpulan tersebut beransur-ansur bersurai.
Rakaman berkenaan mencetuskan kebimbangan orang ramai terutama mengenai keselamatan pengunjung memandangkan Pantai Cenang merupakan antara kawasan tumpuan pelancong di Langkawi.
Menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna TikTok, @Shah@zuan secara sinis berkata, ada kemungkinan pihak tertentu akan menyalahkan pelancong dalam kejadian tersebut.
“Selepas ini mungkin ada pencinta haiwan yang akan mengatakan pelancong itu terlebih dahulu mengganggu anjing-anjing berkenaan,” katanya.
Sementara itu, @P3nd0s4 berkata, anjing jalanan kebiasaannya lebih berani apabila berada dalam kumpulan berbanding bersendirian.
“Mentang-mentang jumlahnya ramai, mereka jadi berani. Kalau seekor sahaja, tengok orang pun mungkin tidak berani,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @Bitakassim menyifatkan keadaan itu sebagai membimbangkan kerana kawasan tersebut sering dikunjungi orang ramai termasuk kanak-kanak.
“Kalau sudah sampai macam ini, memang agak berbahaya kepada orang ramai kerana kawasan itu menjadi tumpuan dan turut dikunjungi kanak-kanak,” katanya. – KOSMO! ONLINE
@langkawichannelAnjing ‘liar’ berkumpul serang pelancong di Pantai awal pagi ini. 6.58 pagi, Selasa 25 Ogos, Pantai Chenang Dilaporkan kumpulan anjing ini lama berkeliaran di sekitar pantai & perkampungan belakang. Harap PBT dapat mempercepatkan lagi tindakan @anikixanif FB
The post [VIDEO] Dikejar anjing liar, pelancong terjun laut appeared first on Kosmo Digital.


![[VIDEO] Kes Rocky: Shah, Roghini tiba di mahkamah Klang](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-20-at-9.00.00-AM-1024x683.jpeg)



