
KOTA BELUD: Tiga lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan di tempat awam yang tular di media sosial di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintendan Khairul Shah Peri berkata pihaknya mengesan penularan video berkenaan kira-kira jam 2.30 petang yang memaparkan beberapa lelaki dipercayai terbabit dalam pergaduhan di tempat awam.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku kira-kira jam 9.30 pagi di hadapan sebuah premis kedai runcit di tepi jalan di sini.
“Polis menahan tiga lelaki kira-kira jam 3.30 petang bagi membantu siasatan manakala tiga lagi suspek masih dikesan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh di tempat awam dengan menggunakan senjata.
Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian berkenaan yang boleh menjejaskan siasatan.
Mana-mana saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud bagi membantu siasatan.






