
PETALING JAYA – Inisiatif peminat permainan dalam talian, Roblox mengadakan majlis bacaan Yasin untuk Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali mendapat pujian daripada orang ramai.
Menerusi hantaran pengguna Thread @Aliffnadzrin, dia berkongsi tangkap layar platform permainan tersebut yang mana satu majlis bacaan Yasin secara virtual diadakan bagi mendoakan Allahyarham.
“Weh, tadi lalu live (siaran langsung) TikTok majlis bacaan Yasin kat Roblox untuk Almarhum Tun Dr Hasmah. Ramai juga join (sertai), mantap anak muda. Jangan gelak. Dia orang memang serius tadi. Habis baca Yasin, ada doa dan ada emcee (pengacara majlis) yang bertugas. Proper (tertib) je. Cuma virtual dalam Roblox,” katanya pada hantaran berkenaan.
Ia mendapat maklum balas orang ramai yang memuji inisiatif tersebut, sekali gus tidak hanya menggunakan platform Roblox untuk bersuka semata-mata.
“Ada je map (peta) yang kalau ada acara keagamaan. Memang ada bacaan Yasin doa apa semua tu. Macam lebih kurang Google Meet cuma ni ada Avatar je dan ter dan surprisingly (yang mengejutkan) semuanya memang serius je tak ada persenda apa pun. Bagus betul,” komen @Ainasyazayazrol.
“Seronok weh berkawan dengan budak dalam Roblox. Saya pernah join solidariti Palestin dalam Roblox,” kata @Xyzichaica.
“Sebenarnya banyak komuniti dalam Roblox ni menarik dan diorang ajak juga Parlimen dalam Roblox. Diorang ada pilihan raya, hari kemerdekaan. Mereka ni agak bagus dan mengagumkan. Tidak dilupakan, al-Fatihah Tun Dr. Hasmah,” kata @Piqoyeh.
Terdahulu, jenazah isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selamat dikebumikan dengan penuh Istiadat Pengebumian Pembesar Negara di Pusara Negara dekat Presint 20, Putrajaya kira-kira pukul 6.20 petang semalam.
Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pagi semalam dikebumikan berhampiran pusara isteri bekas Perdana Menteri, Tun Endon Mahmood. – KOSMO! ONLINE
The post Geng Roblox baca Yasin untuk Tun Siti Hasmah appeared first on Kosmo Online.






