
Malaysia bahkan seisi dunia pasti akan merindui wajah keibuannya. Pemergian Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali yang pernah bergelar wanita No.1 negara itu ditangisi seluruh rakyat jelata.
Pagi semalam, perkhabaran duka isteri kepada perdana menteri paling lama dalam sejarah Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu yang menghembuskan nafas terakhir membuatkan kita terkedu dan bersulam nestapa.‘Bonda’ yang disayangi kita semua, Dr. Siti Hasmah dilaporkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.
Allahyarham dijemput Ilahi ke negeri abadi pada usia 100 tahun selepas melalui perjalanan panjang sebagai doktor perubatan serta tokoh yang banyak menyumbang dalam bidang kesihatan awam, kebajikan, pendidikan dan kemasyarakatan.
Dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Kampung Jawa, Klang, Selangor, Allahyarham merupakan anak keenam daripada 10 beradik. Bapanya, Mohd. Ali merupakan seorang pegawai kerajaan, manakala ibunya, Siti Khatijah Ahmad seorang suri rumah.
Beliau mula bersekolah di Methodist Girl’s School, Kuala Lumpur pada 1932 kemudian ke St. Mary’s School, Kuala Lumpur dan Lulus Sijil Persekolahan Sekolah Perempuan Inggeris Pudu, Kuala Lumpur pada 1941.

Allahyarham adalah contoh seorang wanita Melayu yang pintar. Dr. Siti Hasmah berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura pada tahun 1947 dan merupakan satu-satunya wanita Melayu yang mengikuti pengajian bidang berkenaan di institusi itu pada tahun tersebut. Di situlah beliau bertemu Dr. Mahathir yang mengikuti pengajian perubatan pada tahun sama, sebelum hubungan mereka berkembang dan membawa ke jenjang pelamin.
Kecekalan mengharungi pengajian yang mencabar akhirnya menyaksikan beliau menamatkan pengajian perubatan sekali gus muncul antara wanita Melayu terawal yang menceburi profesion perubatan ketika bidang itu masih didominasi lelaki.

Dr. Siti Hasmah memulakan kerjaya sebagai doktor pelatih di Hospital Kuala Lumpur pada 1955 sebelum berpindah ke Kedah setahun kemudian dan dilantik sebagai pegawai perubatan wanita di Hospital Alor Setar.
Di Kedah, negeri kelahiran suaminya yang dikahwini pada tahun 1956, Allahyarham mula melihat sendiri cabaran kesihatan dihadapi masyarakat luar bandar, pengalaman yang kemudian banyak membentuk perjuangannya dalam bidang kesihatan awam.
Mungkin ramai yang tidak tahu, Siti Hasmah semasa bertugas menjadi doktor di awal zaman merdeka adalah insan yang memperjuangkan supaya jururawat memakai seluar panjang dan bukan skirt separas lutut yang menjadi kebiasaan waktu itu.
Kemudian, pada 1962, beliau mencipta sejarah dilantik sebagai pemangku penguasa perubatan bagi kawasan utara Kedah dan tiga tahun kemudian menjadi wanita pertama dilantik sebagai pegawai perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Kanak-Kanak selain menjadi Pengetua Sekolah Latihan Kesihatan Luar Bandar di Jitra.

Sepanjang kerjayanya, kesihatan ibu dan kanak-kanak menjadi antara perjuangan utama, dengan kadar kematian bayi di Kedah dilaporkan menurun daripada 75 kepada tujuh bagi setiap 1,000 kelahiran ketika tempoh perkhidmatannya.
Selepas Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri (PM) pada 1981, Dr. Siti Hasmah terus memainkan peranan dalam pelbagai pertubuhan kesihatan, kebajikan, pendidikan dan pembangunan keluarga.

Beliau turut aktif dalam usaha menangani penyalahgunaan dadah dan pada 1985 menghadiri Persidangan Wanita Pertama Mengenai Penyalahgunaan Dadah di Washington atas jemputan Nancy Reagan, iaitu isteri kepada bekas Presiden Amerika Syarikat, Ronald Reagan.
Dua tahun kemudian, Dr. Siti Hasmah mewakili Malaysia pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram di Vienna.
Pada tahun 1995, beliau mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Dunia Keempat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Wanita di Beijing, China dan berucap mengenai kesaksamaan, pembangunan serta keamanan.

Allahyarham turut menerima beberapa doktor kehormat daripada institusi pengajian tinggi luar negara termasuk University of Indiana di Amerika Syarikat, University of Victoria di Kanada, Royal College of Physicians di Dublin, Ireland dan University of Edinburgh di Scotland.
Pada 1998, Allahyarham menerima Kazue McLaren Award daripada Asia Pacific Consortium for Public Health.
Ternyata Allahyarham bukan sahaja dihormati kerana merupakan isteri kepada PM tetapi juga memberi sumbangannya tersendiri kepada negara.
Dr. Siti Hasmah juga aktif dalam bidang sukan dan bermain badminton secara kompetitif sehingga berumur 75 tahun. Kecintaan dan penglibatan mendalam beliau dalam sukan badminton menyebabkan Allahyarham dianggap sebagai ‘ibu’ kepada barisan pemain badminton negara.
Allahyarham juga merupakan bekas Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan bekas penaung Persatuan Tenis Kerusi Roda Malaysia.
Dr. Siti Hasmah merupakan isteri PM Malaysia pertama yang menerima Anugerah Persekutuan Seri Setia Mahkota Malaysia (SSM) yang membawa gelaran Tun.
Wanita ini juga serba boleh apabila berbakat bermain alat muzik violin (biola). Masih terngiang kesayuan saat beliau menggesek biola mengiringi pesembahan lagu Gubahanku oleh Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menerusi video yang tular pada tahun lalu.

Menyorot perwatakannya, biarpun merupakan suri hati pemimpin tertinggi negara, wanita ini sering kelihatan sederhana. Allahyarham unik dengan caranya tersendiri apabila lebih suka kepada penampilan sederhana tanpa terlalu menonjol atau berlebih-lebihan.
Tidak seperti ‘imej datin-datin’ dengan gelang emas dan cincin besar, Siti Hasmah lebih selesa memakai rantai dan gelang mutiara.
“Saya tak pakai ‘bling bling’. Saya pakai mutiara. Mutiara lebih ‘selamat’. Orang perempuan sila ingat perkara ini, cantik, paling sesuai dan padan dengan baju warna apa pun,” katanya dalam satu temu bual bersama sebuah portal pada tahun 2015.
Penulis sendiri pernah bertemu dengan Allahyarham dalam satu sesi penggambaran sekitar tahun 2005 untuk keluaran istimewa Aidilfitri akhbar Kosmo! dan melihat keperibadian wanita itu yang tertib, lembut dalam bicara dan bersederhana, namun masih memiliki aura isteri seorang negarawan ulung.
Ketika itu beliau hadir dengan memakai baju kurung berwarna jingga dan berselendang sedondon dengan suaminya, Dr. Mahathir yang berbaju Melayu warna sama. Begitulah dirinya sehingga era ini yang serasi bersama dan pendamping setia suaminya.
Allahyarham dan Dr. Mahathir mendirikan rumah tangga selama lebih tujuh dekad. Selepas Dr. Mahathir menamatkan tempoh pertamanya sebagai PM pada 2003, Allahyarham terus memberikan sokongan dan menemani suaminya dalam pelbagai urusan.
Pasangan itu kemudian kembali ke tampuk kepimpinan negara apabila Dr. Mahathir dilantik sebagai PM buat kali kedua pada 2018.
Pada 5 Ogos 2026, pasangan itu genap 70 tahun mendirikan rumah tangga.
Hari ini pada usia 100 tahun berakhir hayat seorang doktor perubatan dan tokoh wanita yang banyak berjasa buat negara untuk kembali ke sisi Sang Pencipta. Tun Dr. Siti Hasmah, damailah dikau di sana.
The post Wanita pintar suri negara, sederhana tanpa ‘bling bling’ appeared first on Kosmo Online.





![[VIDEO] Ramai ziarah pusara Tun Siti Hasmah, suasana sayu jadi perhatian](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/pusara-TH-1024x768.jpeg)
