KOTA KINABALU - Sebanyak 13 laporan polis diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah setakat tengah hari Khamis, susulan ucapan yang didakwa menyentuh agama Kristian pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, semua laporan berkenaan telah dirujuk kepada laporan polis awal yang dibuat di Kelana Jaya, Selangor.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Jika lawak paderi digantikan imam, orang Islam pasti kita juga akan marah' - Akmal Saleh
'Tarik balik, mohon maaf' - Pemimpin Sabah kecam jenaka paderi, biarawati di pentas PAU
Jenaka paderi dan biarawati: 'Dengan penuh rendah hati saya sedia mohon maaf' - Noorazli
"Untuk Kontinjen Sabah, sehingga tengah hari tadi kita telah menerima 13 laporan polis berkaitan isu berkenaan.
"Kesemua laporan itu telah kita rujuk kepada laporan polis awal yang dibuat di Kelana Jaya dan siasatan dibuat oleh pihak Bukit Aman," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Lawatan Awam ke Galeri Polis Negeri Saba di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan laporan polis yang diterima di Sabah dibuat oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Dalam pada itu, Jauteh menasihatkan orang ramai supaya melihat isu berkenaan secara matang dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.
"Memandangkan perkara ini masih tular dalam media massa ketika ini, kita mengharapkan supaya masyarakat melihat perkara ini secara matang.
"Laporan polis yang telah dibuat sudah diambil tindakan oleh PDRM, khususnya bagi memastikan siasatan yang telus dijalankan," katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya bertindak secara bijak dan tidak mengambil tindakan sendiri berhubung isu berkenaan.
"Kita menasihatkan orang ramai supaya bertindak secara bijak dan berfikiran matang dalam keadaan seperti ini.
"Kita tidak mahu mengambil tindakan secara bersendirian, sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan yang telus," katanya.
Baru-baru ini, Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said didakwa berucap menyentuh agama Kristian termasuk paderi, biarawati serta kitab Bible (Alkitab) semasa di pentas PAU 2026.
Ucapan berkenaan mencetuskan kecaman beberapa pemimpin politik termasuk dari Sabah yang menyifatkan agama dan kepercayaan penganut lain tidak seharusnya dijadikan bahan jenaka atau dipersendakan di pentas politik.






