Tiga ahli sebuah keluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut selepas dirempuh sebuah lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, lori Isuzu ‘Black Maria’ milik JIM terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah Proton Saga sebelum hilang kawalan dan merempuh empat pejalan kaki yang merupakan satu keluarga serta sebuah Inokom Matrix.
AdvertisementLori Dipercayai Masuk Ketika Lampu Merah
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati lori tersebut dipandu seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun tanpa membawa muatan.
Lori berkenaan ketika itu dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi operasi melibatkan pendatang asing tanpa izin.
“Lori berkenaan dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi tujuan mengambil Orang Kena Tahan (OKT) susulan operasi pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan berkenaan.
“Lori tersebut dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah dengan lampu beacon dan siren diaktifkan.”
Pada masa sama, sebuah Proton Saga yang dipandu lelaki tempatan berusia 50 tahun sedang bergerak lurus ketika lampu isyarat di laluannya berwarna hijau.

“Pemandu Proton Saga dipercayai tidak sempat mengelak sebelum berlaku perlanggaran dengan lori berkenaan di tengah persimpangan.
“Akibat pelanggaran itu, lori terbabit hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh empat pejalan kaki yang merupakan satu keluarga serta sebuah Inokom Matrix yang sedang berhenti di persimpangan.”
Bapa Dan Dua Anak Perempuan Maut
Akibat kejadian itu, tiga pejalan kaki meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mangsa terdiri daripada seorang lelaki berusia 53 tahun serta dua anak perempuannya masing-masing berusia 25 dan 12 tahun.
Isteri kepada mangsa lelaki yang berusia 55 tahun pula mengalami kecederaan pada bahagian kepala, tangan serta kedua-dua belah kaki.
Wanita itu kini menerima rawatan di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Pemandu Lori Imigresen, Proton Saga Ditahan
Ketiga-tiga pemandu kenderaan yang terlibat dilaporkan tidak mengalami kecederaan.
Bagaimanapun, pemandu lori JIM dan pemandu Proton Saga telah ditahan bagi membantu siasatan. Ujian pernafasan serta saringan awal air kencing terhadap kedua-duanya didapati negatif alkohol dan dadah.
Polis turut menjalankan siasatan di lokasi kejadian termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO ONLINE
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

Sempat Bersalaman Dengan Keluarga, Pemandu Lori Tangki Mengaku Tak Bersalah Sebabkan Kematian Dua Beranak
The post (VIDEO) Langgar Lampu Merah, Lori Imigresen Rempuh Satu Keluarga Meninggal Dunia first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.






