![Image from: [VIDEO] Meteor ‘singgah’ di langit Malaysia](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/meteor-1024x576.jpeg)
PETALING JAYA – Sebuah meteor mencuri perhatian selepas dirakam meluncur di ruang udara negara kira-kira pukul 2.33 pagi tadi.
Antara rakaman yang tular dimuat naik pengguna Threads, @Syahirawal yang mendakwa melihat sendiri objek berkenaan ketika melalui Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Kijal, Terengganu.
“Ini kali pertama saya melihat meteor di langit. Rakaman ini diambil menerusi kamera papan pemuka ketika melalui LPT2 berhampiran Kijal kira-kira pukul 2.33 pagi tadi,” katanya.
Rakaman berkenaan memaparkan satu objek bercahaya bergerak pantas di ruang udara sebelum hilang dalam tempoh singkat.
Menariknya, fenomena sama turut didakwa disaksikan pengguna jalan raya di lokasi lain pada waktu hampir serentak termasuk di Pulau Pinang.
Seorang pengguna Threads, @Fadzrinnordin turut berkongsi rakaman kamera papan pemuka yang menunjukkan objek bercahaya kehijauan di langit.
“Di Pulau Pinang juga dapat dilihat pada pukul 2.33 pagi,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, @Genzuway turut berkongsi rakaman kejadian sama dan pada awalnya menyangka cahaya tersebut berpunca daripada bunga api.
“Saya tertanya-tanya sama ada ia meteor atau bebola api. Pada mulanya saya menyangka ada orang sedang bermain bunga api,” katanya.
Dalam ruangan komen, pengguna @Nblaothmn_ pula mengaitkan kejadian itu dengan hujan meteor Perseid.
“Memang terdapat hujan meteor yang dikenali sebagai Perseid. Fenomena sama juga berlaku tahun lalu dan mungkin boleh diperhatikan sekitar pukul 2 hingga 4 pagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE
View on Threads
The post [VIDEO] Meteor ‘singgah’ di langit Malaysia appeared first on Kosmo Digital.

![[VIDEO] Pakat nampak ‘meteor’ lintas Lebuh Raya Alor Pongsu](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/meteor-2-1024x977.jpeg)


