[VIDEO] Perarakan jentolak sempena Merdeka, gegar suasana kampung

31 Aug 2026 • 12:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: [VIDEO] Perarakan jentolak sempena Merdeka, gegar suasana kampung
Image from: [VIDEO] Perarakan jentolak sempena Merdeka, gegar suasana kampung
Deruman enjin jentera berat menggegarkan suasana kampung apabila 10 jentolak, dua lori dan kenderaan pacuan empat roda berarak sejauh kira-kira 300 meter sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di DUN Chetok, Pasir Mas pada Isnin. - Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Image from: [VIDEO] Perarakan jentolak sempena Merdeka, gegar suasana kampung
Zuraidin (tiga dari kiri) turut sama menaiki jentolak dan menyertai perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di DUN Chetok, Pasir Mas pada Isnin.Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Image from: [VIDEO] Perarakan jentolak sempena Merdeka, gegar suasana kampung
Perarakan jentera berat ini adalah sesuatu yang unik dan julung kali diadakan dalam sambutan kemerdekaan di sini - Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

PASIR MAS – Deruman enjin jentera berat menggegarkan suasana kampung apabila 10 jentolak, dua lori dan beberapa kenderaan pacuan empat roda menyertai perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chetok pada Isnin.

**media[3631840]**

Perarakan sejauh kira-kira 300 meter itu mencuri perhatian penduduk apabila deretan jentera yang lazimnya digunakan di kawasan perlombongan pasir tampil memeriahkan sambutan kemerdekaan bersama masyarakat setempat.

Lebih menarik, hampir 200 penduduk berkumpul di sepanjang laluan bagi menyaksikan sendiri kelainan yang ditampilkan dalam sambutan kali ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chetok, Zuraidin Abdullah berkata, idea menggunakan jentera berat tersebut tercetus hasil cadangan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Persatuan Penduduk Kampung Kangkong.

Menurut beliau, keunikan perarakan itu turut berkait dengan latar belakang pengerusi persatuan penduduk yang merupakan usahawan dalam bidang perlombongan pasir serta memiliki beberapa jentera berkenaan.

**media[3631842]**

“Perarakan menggunakan jentera berat ini adalah sesuatu yang unik dan julung kali diadakan dalam sambutan kemerdekaan di sini.

“Kebetulan pengerusi persatuan merupakan usahawan perlombongan pasir dan memiliki jentera-jentera seperti ini, maka tercetus idea untuk menjadikannya sebagai simbolik sambutan kemerdekaan,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-69 di Kampung Kangkong, di sini.

Zuraidin berkata, program yang berlangsung selama dua hari itu melibatkan penduduk dari enam kampung iaitu Kampung Kangkong, Gelam, Keranji, Kenjong, Buloh Pelintang dan Chenembak.

Menurutnya, penganjuran program berkenaan bukan sahaja bertujuan meraikan Hari Kebangsaan, malah menjadi platform untuk mengukuhkan hubungan silaturahim antara penduduk setempat.

**media[3631843]**

“Program ini bukan sekadar meraikan kemerdekaan, tetapi turut mengeratkan hubungan penduduk daripada enam kampung yang terlibat.

“Pada malam ini pula, acara kemuncak akan diisi dengan pertandingan persembahan lagu bertemakan kemerdekaan dan patriotik yang disertai kira-kira 80 peserta,” katanya.

Beliau berkata, sambutan Hari Kebangsaan kali ini mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran hampir 500 penduduk.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved