![Image from: [VIDEO] Pukul 5 pagi masih ramai budak main basikal lajak dalam KL](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/basikal-lajak-1-1024x636.jpeg)
PETALING JAYA – Kemeriahan sambutan malam Ambang Merdeka di ibu negara turut menyaksikan sekumpulan kanak-kanak berbasikal lajak masih ‘merayap’ di sekitar jalan raya sehingga awal pagi.
Menerusi beberapa perkongsian pengguna Threads, kumpulan kanak-kanak berkenaan dipercayai memasuki kawasan bandar bagi memeriahkan sambutan Ambang Merdeka, malah ada antara mereka masih kelihatan menunggang basikal lajak sekitar pukul 5 pagi.
Seorang pengguna Threads @N.idayu_m.yusof berkongsi pengalaman ketika dalam perjalanan pulang selepas bertugas on-call (lebih masa) di hospital kira-kira pukul 5 pagi.
“Aku balik on-call hospital pukul 5 pagi pagi tadi, mata dah tak larat nak celik. Berdesup budak-budak ini kat Bulatan Pahang. Geram la acik,” katanya.
Sementara itu, pengguna Threads @Areyindania_ pula berkongsi pengalaman terserempak dengan kumpulan berkenaan ketika dalam perjalanan pulang dari kawasan Saloma.
Menurutnya, dia yang baru selesai bekerja sekitar pukul 1 pagi terpaksa berdepan keadaan jalan yang sesak sebelum sebuah basikal lajak tiba-tiba mencelah di sebelah kenderaannya.
“Semalam baru balik kerja pukul 1 dari Saloma, nak selit tengok tak ada apa-apa, dah masuk dalam kereta budak tu boleh mencelah sebelah aku. Dah lah jem.
“Mujur azam aku sekarang menjadi seorang wanita yang baik, kalau azam aku bertukar aku terajang je basikal tu,” katanya.
Dalam pada itu, pengguna Threads @Adaaismail memuat naik video memaparkan sekumpulan kanak-kanak bersama basikal lajak masing-masing yang dipercayai ditahan pihak polis sekitar awal pagi tadi.
“Pukat motosikal (tak), pukat basikal lajak (ya). Pagi merdeka,” katanya.
Turut tular perkongsian pengguna Threads @Faa.ismalil yang memuat naik rakaman sekumpulan penunggang basikal lajak dipercayai sedang dalam perjalanan menuju ke Dataran Merdeka, malam tadi.
Kumpulan berkenaan dilihat menggunakan jalan raya dan berselisih dengan pengguna jalan raya berhampiran Masjid India, Kuala Lumpur.
Perkongsian berkenaan turut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang rata-rata berharap aspek keselamatan kanak-kanak dan pemantauan ibu bapa diberi perhatian, terutama apabila mereka masih berada di luar rumah sehingga awal pagi.
“Ibu bapa masing-masing tahu tak anak-anak ini naik basikla sampal dalam bandar, pagi buta masih merayap sana sini. Tolong la sentiasa pantau keberadaan anak-anak bawah umur ini,” kata @Heaqwta. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] Pukul 5 pagi masih ramai budak main basikal lajak dalam KL appeared first on Kosmo Digital.






