Agong Pimpin Sambutan Hari Kebangsaan, Lebih 80,000 Rakyat Hadir

31 Aug 2026 • 11:21 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Agong Pimpin Sambutan Hari Kebangsaan, Lebih 80,000 Rakyat Hadir

PUTRAJAYA - Lautan manusia membanjiri Dataran Putrajaya seawal pagi hari ini bagi bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-69 yang berlangsung penuh warna-warni dan semangat patriotisme.

Lebih 80,000 pengunjung dari seluruh negara hadir menyaksikan acara berprestij itu yang menampilkan perarakan kekuatan aset pertahanan negara, kepelbagaian budaya serta semangat perpaduan rakyat.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut berkenan berangkat ke sambutan berkenaan pada jam 8 pagi.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua di Dataran Putrajaya disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, serta Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026.

Sambutan tahun ini merupakan kali ketiga berturut-turut Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah berangkat menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan sejak Sultan Ibrahim menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 2024.

Acara rasmi dimulakan dengan tiupan nafiri, diikuti lagu kebangsaan Negaraku oleh pancaragam Kawalan Kehormatan Utama.

Tumpuan kemudiannya terarah ke ruang udara apabila lima helikopter melakukan lintas hormat sambil membawa Jalur Gemilang bersama bendera Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Sultan Ibrahim kemudian berkenan memeriksa barisan perbarisan dan menerima tabik hormat daripada Kawalan Kehormatan Utama.

Perbarisan berkenaan melibatkan Bateri ke-41 Rejimen Artileri Diraja Istiadat dari Kem Sungai Buloh, membabitkan tiga pegawai dan 57 anggota.

Dengan tema “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, sambutan kali ini menghimpunkan 10,819 peserta daripada 76 kontinjen serta 22 pasukan pancaragam.

Selain perbarisan peserta, acara itu turut menampilkan 11 kenderaan berhias dan 328 aset melibatkan ketiga-tiga dimensi pertahanan negara iaitu darat, laut serta udara.

Sebanyak 112 haiwan dalam perkhidmatan dan 22 kenderaan elektrik (EV) turut mengambil bahagian, selain persembahan grafik manusia yang mencuri perhatian ribuan pengunjung.

Semangat untuk menyaksikan sendiri sambutan Hari Kebangsaan turut mendorong ramai pengunjung datang jauh lebih awal, malah ada yang memilih bermalam di sekitar Putrajaya.

Ada yang sanggup membawa khemah, tikar dan kerusi mudah alih demi mendapatkan tempat terbaik untuk menyaksikan keseluruhan acara.

Muhammad Syarafuddin Md Sarif, 19, misalnya, bersama tiga rakan memandu lebih tujuh jam dari Kedah semata-mata untuk berada di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, mereka sudah lama memasang impian untuk menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan secara langsung, selepas selama ini hanya mengikuti acara berkenaan menerusi siaran televisyen.

“Kami sudah lama merancang untuk datang, tetapi baru kali ini ada rezeki untuk sampai ke Putrajaya.

“Selama ini kami hanya tengok di televisyen. Kali ini kami mahu datang sendiri dan rasai suasana sambutan,” katanya seperti dilaporkan Buletin TV3.

Rakannya, Muhammad Izzat Alif Mohamad Razlan, 19, berkata, keterujaan mereka untuk menyaksikan perarakan secara dekat menyebabkan mereka hampir tidak dapat melelapkan mata pada malam sebelumnya.

“Memang lain bila tengok sendiri. Kami mahu rasa suasana sebenar sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya.

“Malam tadi pun kami susah hendak tidur sebab terlalu teruja memikirkan perarakan hari ini,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, pesara tentera Mohd Kadri Mat Lazim, 48, turut sanggup menempuh perjalanan dari Kuantan, Pahang.

Beliau bertolak kira-kira jam 3 petang dan hanya tiba di Putrajaya sekitar tengah malam.

Biarpun perlu meletakkan kenderaan agak jauh dan berjalan kira-kira tiga kilometer, beliau menganggapnya satu pengorbanan kecil demi memberi pengalaman bermakna kepada keluarganya.

Sebagai bekas anggota tentera, katanya, beliau mahu anak-anaknya memahami erti kemerdekaan serta menghargai pengorbanan generasi terdahulu yang berjuang demi kebebasan tanah air.

“Saya bekas tentera, jadi semangat itu memang masih kuat dalam diri.

“Saya mahu anak-anak faham apa makna semangat Hari Kebangsaan dan belajar menghargai pengorbanan mereka yang terdahulu berjuang untuk kemerdekaan negara,” katanya.

Bagi John Tan pula, sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya menjadi peluang untuk memperkenalkan anak-anaknya kepada semangat patriotisme dan kepentingan perpaduan.

Beliau yang hadir bersama keluarga dari Pulau Pinang berkata, pengalaman menyaksikan sendiri rakyat pelbagai kaum berhimpun dalam suasana penuh harmoni merupakan sesuatu yang amat bermakna.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya rasa sekurang-kurangnya sekali dalam hidup kita perlu datang menyaksikan sambutan seperti ini.

“Saya mahu anak-anak melihat sendiri semangat patriotisme dan faham apa ertinya menjadi rakyat Malaysia.

“Memang sangat berbaloi. Saya bangga melihat rakyat daripada pelbagai kaum meraikan Hari Kebangsaan bersama-sama. Ramai juga pelancong dari luar negara yang datang menyaksikan sambutan ini,” katanya.

Bagi Zaleha Khamis, 75, sambutan Hari Kebangsaan ke-69 meninggalkan kenangan tersendiri apabila buat pertama kali beliau menjejakkan kaki ke Dataran Putrajaya untuk menyaksikan acara berkenaan secara langsung.

Beliau berkata, peluang itu membuatkan dirinya berasa lebih bangga dan bersyukur menjadi rakyat Malaysia.

“Pada usia 75 tahun, inilah kali pertama saya datang ke Dataran Putrajaya untuk sambutan Hari Kebangsaan.

“Saya sangat bersyukur dan bangga menjadi rakyat Malaysia. Saya bawa anak-anak dan menantu supaya kami dapat sama-sama menikmati suasana sambutan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah turut menzahirkan ucapan Selamat Hari Kebangsaan kepada seluruh rakyat Malaysia menerusi hantaran di Facebook.

Seri Paduka Baginda berdua turut berharap sambutan Hari Kebangsaan ke-69 tahun ini diraikan dengan penuh penghayatan dan membawa makna tersendiri buat seluruh rakyat Malaysia. - Getaran, 31 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved