[VIDEO] Ronaldo, Georgina dedah nikah di ruang tamu rumah

17 Aug 2026 • 7:51 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: [VIDEO] Ronaldo, Georgina dedah nikah di ruang tamu rumah

LISBON – Cristiano Ronaldo dan isterinya, Georgina Rodríguez mendedahkan memilih untuk mengikat tali perkahwinan dalam suasana cukup sederhana apabila majlis pernikahan tersebut hanya berlangsung di ruang tamu kediaman pasangan itu di Cascais, Portugal.

Pendedahan itu menepis dakwaan sebelum ini perkahwinan mereka berlangsung di kawasan eksklusif di negara itu.

Pendedahan itu dibuat pasangan berkenaan dalam wawancara bersama majalah Vogue yang diterbitkan semalam, sekali gus  mengesahkan butiran baharu mengenai majlis perkahwinan mereka yang berlangsung pada 11 Ogos lalu.

Lebih menarik, majlis tersebut hanya disertai lima anak mereka iaitu Cristiano Jr., kembar Eva Maria dan Mateo serta Alana dan Bella.

Ronaldo, 41, dan Georgina, 32, sebelum ini mengejutkan peminat apabila mengesahkan mereka sudah bergelar suami isteri selepas sekian lama bersama sejak 2016.

Pasangan itu memilih 11 Ogos sebagai tarikh istimewa kerana ia turut menandakan genap 10 tahun sejak mereka pertama kali bertemu di sebuah kedai Gucci di Madrid, Sepanyol.

Menurut laporan, Georgina sebelum ini mengimpikan sebuah majlis perkahwinan besar seperti dalam cerita dongeng, namun perubahan keutamaan selepas melalui pelbagai fasa kehidupan menyebabkan dia lebih menghargai sebuah majlis yang dekat dengan keluarga.

Dalam majlis berkenaan, Georgina mengenakan sut putih daripada Gucci bersama kasut satin, manakala Ronaldo tampil segak dengan sut kapas berwarna kuning air cerah dan kasut khas.

Kelima-lima anak mereka turut mengenakan pakaian dalam rona putih dan kuning air, menjadikan majlis tersebut lebih tersusun walaupun berlangsung secara tertutup.

Ronaldo dan Georgina sebelum ini mengumumkan pertunangan pada Ogos tahun lalu selepas hampir sedekad menjalin hubungan.

Pasangan itu bagaimanapun tidak merancang untuk mengadakan bulan madu selepas perkahwinan kerana Ronaldo perlu kembali menjalani komitmen kerjaya bersama kelabnya, Al-Nassr.

Menariknya, Ronaldo menyifatkan setiap hari bersama Georgina sebagai satu bentuk bulan madu, menunjukkan perkahwinan itu lebih mengutamakan kehidupan bersama keluarga berbanding kemeriahan sebuah majlis besar.

Sumber turut melaporkan pasangan itu merancang mengadakan sambutan lebih besar bersama keluarga dan kenalan rapat pada masa akan datang.

Pendedahan terbaru itu sekali gus menjelaskan mengapa perkahwinan Ronaldo berlangsung secara senyap tanpa kehadiran ramai tetamu atau selebriti seperti yang dijangka sebelum ini.

Dokumen perkahwinan pasangan itu juga sebelum ini mendedahkan mereka menandatangani perjanjian praperkahwinan sehari sebelum majlis berlangsung, dengan aturan pemilikan harta secara berasingan.

Ronaldo dan Georgina akhirnya memilih untuk meraikan detik bersejarah itu secara sederhana, membuktikan kemewahan tidak semestinya menjadi keutamaan apabila membabitkan hari paling bermakna dalam kehidupan sebuah keluarga. – Agensi

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Vogue (@voguemagazine)

The post [VIDEO] Ronaldo, Georgina dedah nikah di ruang tamu rumah appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved