
RIYADH – Cristiano Ronaldo dan isterinya, Georgina Rodriguez membuat kemunculan pertama di khalayak ramai sebagai pasangan suami isteri ketika menyaksikan perlawanan Al Nassr menentang Al Fateh, di Al-Awwal Park, di sini, malam tadi.
Pasangan berkenaan yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan secara tertutup di Cascais, Portugal, pada Selasa lalu, hadir bersama anak-anak mereka untuk memberikan sokongan kepada Al Nassr.
Ronaldo, 41, dan Georgina, 32, kelihatan menonton perlawanan dari tempat duduk khas apabila Al Nassr membuka kempen Liga Pro Saudi musim 2026/27 dengan kemenangan bergaya 3-0 ke atas Al Fateh.
Kemunculan itu menjadi perhatian penyokong apabila ia merupakan penampilan pertama pasangan berkenaan selepas mengesahkan mereka sudah bergelar suami isteri.
Ronaldo bagaimanapun tidak diturunkan dalam perlawanan tersebut selepas mengambil sedikit masa untuk berehat susulan majlis perkahwinannya.
Walaupun tidak beraksi di atas padang, kehadiran kapten Portugal itu tetap mendapat perhatian penyokong yang memenuhi stadium.
Ronaldo dan Georgina mengumumkan perkahwinan mereka menerusi media sosial selepas majlis yang berlangsung secara tertutup di Portugal pada 11 Ogos lalu.
Pasangan yang sudah bersama sejak 2016 itu berkongsi gambar tangan mereka yang dihiasi cincin perkahwinan dengan kapsyen ringkas, “CG”, sekali gus mengesahkan berita yang dinanti-nantikan peminat sejak sekian lama. – AGENSI
The post Ronaldo, Georgina muncul bersama selepas bergelar suami isteri appeared first on Kosmo Digital.





