![Image from: [VIDEO] Tun Siti Hasmah sanggup ulang-alik, nak dengar suara cicit](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-30-at-1.30.14-PM-1024x656.jpeg)
PETALING JAYA – Semata-mata mahu mendengar suara cicit, Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali sanggup berkunjung berulang kali ke rumah anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, meskipun bayi itu sedang nyenyak tidur.
Mukhriz yang juga bekas Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkongsi momen indah itu ketika menceritakan pengalaman arwah ibunya bersama cucu sulungnya, Eden Zakaria Ezran Cheah yang dilahirkan pada 16 Ogos lalu.
Menurutnya, bayi berkenaan merupakan cicit keempat buat kedua-dua ibu bapanya.
Bercerita lanjut beliau berkata, dalam tempoh sebulan selepas kelahiran bayi itu, ibunya kerap datang ke rumah untuk menatap dan memegang cicitnya, malah beberapa kali muncul tanpa memaklumkan terlebih dahulu.
“Dalam tempoh sebulan itu, beliau kerap kali datang ke rumah untuk pegang dan tengok cicit terbaharu. Ada beberapa kali beliau datang tak beritahu atau buat panggilan terlebih dahulu, tiba-tiba sahaja muncul.
“Bila ditanya datang nak tengok cicit ke, beliau kata bukan setakat nak tengok, tapi nak dengar suara,” katanya ketika berucap pada Majlis Tahlil Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, kelmarin.
Mukhriz berkata, dalam dua kunjungan terawal, cicit berkenaan sedang tidur lena walaupun ketika berada dalam dakapan arwah ibunya.
Namun, pada kunjungan ketiga, ibunya yang masih belum berpeluang mendengar suara cicit itu bertindak menggerak-gerakkan bayi berkenaan untuk mengejutkannya.
“Jadi pada kali ketiga datang dan cicitnya masih tidur, beliau gerak-gerakkan untuk bangunkan cicit sebab nak sangat dengar suaranya.
“Akhirnya bila cucu saya (cicit Tun Dr. Siti Hasmah) menangis, barulah beliau tersenyum lebar dan berkata ‘ha, ini baru dengar suara’,” kongsinya.
Mengulas lanjut, Mukhriz menyifatkan pengalaman itu sebagai kenangan manis buat keluarganya, apatah lagi perbezaan usia antara cucunya dengan Allahyarham hampir mencecah 100 tahun.
Menurutnya, gambar-gambar yang dirakamkan bersama Allahyarham akan menjadi kenangan berharga buat cucunya apabila dewasa kelak.
“Bila cucu saya ini membesar nanti, kita akan sentiasa tunjuk gambar-gambar itu kepadanya.
“Bagaimana seorang yang baru hadir ke dunia ini boleh mengenali siapa ‘nyang’ (moyang) dia dan apa sumbangan baktinya kepada masyarakat sepanjang tempoh hidupnya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
View this post on Instagram
The post [VIDEO] Tun Siti Hasmah sanggup ulang-alik, nak dengar suara cicit appeared first on Kosmo Online.






![[VIDEO] ‘Alhamdulillah Tun M nampak kemas, makin sihat’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/Tun-M-1024x766.jpeg)