Visi Tun M punca Bahrain pilih Sepang

8 Oct 2026 • 8:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Visi Tun M punca Bahrain pilih Sepang

Apabila Formula 1 kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) ada yang bertanya, mengapa Sepang dipilih, bukan Mandalika di Indonesia?

Bukan Mandalika tidak hebat, tetapi jawapan itu mungkin terletak pada satu keputusan yang dibuat hampir tiga dekad lalu oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ketika Malaysia membina Sepang pada penghujung 1990-an, mungkin tidak ramai menyangka keputusan itu akan memberikan kelebihan kepada negara hampir 30 tahun kemudian.

Hari ini, Sepang mempunyai sesuatu yang sangat penting iaitu lesen FIA Gred 1.

Berdasarkan senarai litar berlesen FIA yang dikemas kini pada 31 Mac 2026, konfigurasi penuh Sepang mempunyai lesen Gred 1 yang sah sehingga 15 Mac 2029.
Mandalika pula disenaraikan sebagai litar FIA Gred 3 sehingga 29 April 2028.

Mandalika memang hebat dan mempunyai homologasi FIM Gred A untuk MotoGP. Tetapi lesen FIM dan FIA bukan perkara yang sama.

FIM mengawal perlumbaan motosikal, manakala FIA mengawal perlumbaan kereta termasuk Formula 1.

Mandalika sendiri baru memperoleh homologasi FIA Gred 3 pada 2025 selepas beberapa penambahbaikan dilakukan terhadap kawasan run-off dan perangkap batu kerikil.

Untuk F1, standard keselamatan jauh lebih tinggi kerana kelajuan, daya membrek dan tenaga hentaman jentera Formula 1 berbeza sama sekali.

Litar yang direka Hermann Tilke itu dengan kos sekitar RM286 juta ketika itu dan dirasmikan pada Mac 1999. Dari 1999 hingga 2017, F1 beraksi di Sepang selama 19 musim berturut-turut.

Sepang sudah mempunyai garaj, paddock, pusat media, pusat kawalan perlumbaan, kemudahan perubatan, sistem keselamatan, laluan kecemasan, infrastruktur penyiaran dan tenaga kerja yang memahami operasi F1.

Lebih penting, litar itu terus hidup selepas F1 meninggalkan Malaysia. MotoGP, WorldSBK, GT World Challenge, Asia Le Mans Series, perlumbaan endurance dan pelbagai kejohanan lain terus menggunakan Sepang.

Jadi apabila F1 kembali, ia bukan seperti menghidupkan semula litar yang sudah mati kerana Sepang masih bernyawa.

Itulah mungkin nilai sebenar visi Tun Mahathir. Ia menjadi infrastruktur sukan permotoran yang mampu digunakan berdekad-dekad kemudian.

Formula 1 membawa bukan sahaja kereta tetapi lebih 1,000 tan peralatan, termasuk enjin, alat ganti, tayar, perkakasan pasukan, sistem penyiaran dan kelengkapan hospitaliti.

Sepang yang hanya kira-kira 14 kilometer dari KLIA menjadikan urusan logistik jauh lebih mudah.

Menurut penulis The Petriot, Azizul Farhan, penganjuran 2026 berlaku hasil persetujuan khas antara Formula 1, FIA, Bahrain dan Malaysia.

“Sebab itu perlumbaan tersebut dikenali sebagai Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia.

“Jadi, tidak adil untuk mengatakan Mandalika “kalah” kepada Sepang. Tetapi jika persoalannya ialah mengapa Sepang menjadi pilihan bagi perlumbaan gantian itu, jawapannya cukup jelas.

“Sepang sudah mempunyai Gred 1 FIA, Mandalika pula masih mempunyai perjalanan yang perlu ditempuh jika mahu mencapai Gred 1 FIA,” tulisnya.

Tambah Azizul, di sinilah kita mungkin perlu mengakui satu perkara yang mana Tun Mahathir mungkin benar-benar nampak jauh ketika Malaysia membina Sepang.

Mandalika adalah bukti Indonesia sedang membina masa depan sukan permotoran, manakala Sepang pula menjadi terjemahan Malaysia pernah membina masa depan itu lebih awal.

Mungkin itulah definisi sebenar sebuah visi pemimpin membina sesuatu hari ini yang nilainya hanya benar-benar difahami bertahun-tahun kemudian.-KOSMO! ONLINE

The post Visi Tun M punca Bahrain pilih Sepang appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved