Pasaran hartanah kekal stabil menjelang 2027 disokong daya tahan ekonomi negara - Juwai IQI

16 Nov 2026 • 12:12 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pasaran hartanah kekal stabil menjelang 2027 disokong daya tahan ekonomi negara - Juwai IQI Image from: Pasaran hartanah kekal stabil menjelang 2027 disokong daya tahan ekonomi negara - Juwai IQI hamden16/11/2026 - 12:12 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Nov – Daya tahan ekonomi Malaysia yang disokong pertumbuhan kukuh, inflasi terkawal dan peningkatan pendapatan per kapita membantu mengekalkan kestabilan pasaran perumahan negara menjelang 2027.

 

Analisis Juwai IQI menunjukkan prestasi ekonomi Malaysia yang lebih baik berbanding kebanyakan negara serantau terus menyokong pasaran hartanah, meskipun persekitaran ekonomi global mencabar.

 

Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, kestabilan harga rumah dan kadar faedah antara faktor yang membantu mengekalkan daya tahan pasaran perumahan negara.

 

Menurutnya, dari segi aktiviti pasaran, sebanyak 187,320 transaksi hartanah bernilai RM105.12 bilion direkodkan pada separuh pertama 2026.

 

Indeks Harga Rumah Malaysia meningkat 0.9% tahun ke tahun pada suku kedua 2026 kepada 234.7 mata, dengan harga purata rumah di seluruh negara mencecah RM506,317.

 

Kashif berkata, kestabilan harga rumah pada paras yang masih mampu dicapai memberi kelegaan kepada keluarga yang sedang mengumpulkan simpanan untuk membeli kediaman.

 

Beliau turut berkata, kadar faedah stabil susulan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75% sejak Julai 2025 membantu menyokong pasaran perumahan.

 

Dalam kalangan negeri utama, Johor mencatatkan pertumbuhan harga rumah tertinggi sebanyak 3.6%, diikuti Kuala Lumpur pada 2.7%, manakala harga kediaman bertingkat tinggi meningkat 0.9%, lebih pantas berbanding setahun sebelumnya.

 

Ekonomi Malaysia mengatasi prestasi serantau

Malaysia turut meningkat dua anak tangga dalam kalangan sembilan ekonomi Asia yang dikaji berdasarkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dalam dolar Amerika Syarikat (AS), daripada kedudukan keenam terbesar pada 2025 kepada keempat terbesar tahun ini.

 

Pencapaian itu dicatatkan meskipun Malaysia mempunyai populasi kedua terkecil dalam kumpulan berkenaan selepas Sri Lanka, iaitu seramai 34.2 juta orang.

 

Pertumbuhan ekonomi yang kukuh menjadi antara faktor utama peningkatan kedudukan itu, dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak naik unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi 2026 daripada 4% kepada 4.3% pada Januari sebelum meningkatkannya sekali lagi kepada 5.2% bulan lalu.

 

Pertumbuhan itu turut menyumbang kepada peningkatan pendapatan per kapita, dengan KDNK per kapita Malaysia dijangka mencecah AS$15,981 atau RM56,407 tahun ini, tertinggi dalam kalangan sembilan ekonomi yang dikaji dan hampir dua kali ganda berbanding negara kedua tertinggi.

 

Kashif berkata, daya tahan ekonomi Malaysia turut disokong dasar kerajaan, sumber asli dan masyarakat yang inovatif. Sebagai perbandingan, inflasi makanan Sri Lanka meningkat daripada 2.6% pada 2025 kepada 6.6% tahun ini.

 

Walaupun berdepan tarif global dan harga tenaga tinggi, inflasi keseluruhan Malaysia dijangka kekal pada 2.2% tahun ini, antara yang terendah dalam kumpulan sembilan negara berkenaan, berbanding jangkaan IMF bahawa inflasi boleh mencecah 8.7% dalam kumpulan itu. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved