
Vivo X300 FE kini rasmi dilancarkan dengan rekaan unik yang seakan kacukan antara iPhone Air dan Pixel. Malah, dalam bahasa mudah, ia menyerupai model Honor 500 dengan tubuh bersegi serta bonggol kamera belakang melengkung. Peranti ini ditawarkan dalam beberapa pilihan warna menarik termasuk ungu cair.

Dari segi spesifikasi, ia hadir dengan skrin AMOLED 6.31 inci 120Hz dan kecerahan puncak sehingga 5000 nits. Tunjang utamanya dikuasai oleh cip Snapdragon 8 Gen 5 bersama pilihan memori 12GB RAM (LPDDR5X Ultra) dan storan sehingga 512GB (UFS 4.1). Ia menjalankan OriginOS 6 berasaskan Android 16 dengan sokongan ciri berasaskan AI, selain turut diberikan kemas kini sistem operasi selama lima tahun serta keselamatan sehingga tujuh tahun.

Selain itu, sistem kamera terdiri dengan tetapan 50MP + 8MP + 50MP manakala kamera swafoto sebesar 50MP menawarkan pelbagai mod seperti snapshot, potret, panorama, gerakan perlahan dan banyak lagi. Dari segi bateri, ia dibekalkan kapasiti 6500mAh dengan sokongan pengecasan pantas 90W FlashCharge serta nirwayar 40W. Ketahanan pula peranti disahkan dengan pensijilan IP68 dan IP69.

