Dua beradik warga China didenda miliki iPhone tidak disahkan

LocalDigital
13 Aug 2026 • 4:52 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Dua beradik warga China didenda miliki iPhone tidak disahkan

Kota Kinabalu: Dua beradik warga China masing-masing didenda RM30,000 atau sembilan bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen pada Rabu kerana memiliki peralatan komunikasi tidak diperakui dengan niat untuk menjualnya.

Yong Weilong, 25, mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Zaini Fishir manakala adiknya Yang Junjie membuat pengakuan sama di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Marlina Ibrahim.

Yong didapati memiliki peralatan komunikasi tidak diperakui berupa 123 unit iPhone 8 pada kira-kira jam 10.38 malam, 3 Ogos lalu di Pintu Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Yang pula memiliki 69 unit iPhone 8, empat unit iPhone 7 dan satu unit iPhone X di lokasi dan waktu sama.

Pertuduhan menyatakan kedua-dua beradik yang merupakan ahli perniagaan itu memiliki peralatan komunikasi berkenaan dengan niat untuk menjualnya.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Peraturan 16(1)(d) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknikal) 2000 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 16(3) peraturan sama.

Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM300,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Ketika rayuan meringankan hukuman peguam Mohd Al Hafidz Mohd Lokman memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya menyesal dan itu merupakan kesalahan pertama mereka.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Fadzri Azham Zainudin dan TPR DK Alya Afiqah AK Johari masing-masing memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan.

Pihak pendakwaan berkata kesalahan itu melibatkan peralatan yang tidak mematuhi standard teknikal ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknikal) 2000.

Mereka berkata pematuhan terhadap keperluan itu penting bagi memastikan sistem komunikasi di Malaysia berfungsi dengan baik serta mengekalkan integritinya.

Pendakwaan turut berhujah bahawa pemilikan sejumlah besar telefon bimbit tidak diperakui itu menunjukkan ia bertujuan untuk dijual dan membuktikan kedua-dua tertuduh berniat mendapatkan keuntungan kewangan daripada urus niaga peralatan yang tidak memenuhi keperluan peraturan.

Mahkamah dimaklumkan bahawa pada 3 Ogos kira-kira jam 10.38 malam dua warga China terbabit yang dijadualkan menaiki penerbangan Malaysia Airlines ke Kuala Lumpur didapati memiliki sejumlah besar telefon bimbit.

Bertindak atas maklumat diterima, seorang pegawai polis yang juga pengadu dalam kes itu bersama beberapa pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJKD) Kota Kinabalu pergi ke Pintu Pelepasan KKIA untuk menemui kedua-dua lelaki terbabit bersama dua bagasi dan dua beg galas sebelum membawa mereka ke pejabat Siasatan Jenayah Komersial untuk soal siasat lanjut.

Siasatan lanjut mendapati kedua-dua mereka gagal memberikan penjelasan berhubung pemilikan telefon bimbit berkenaan dan dipercayai terlibat dalam aktiviti yang melanggar undang-undang.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved