
Kota Kinabalu: Seorang sami tokong berusia 81 tahun dihukum penjara empat tahun oleh Mahkamah Majistret pada Khamis kerana mencabul seorang wanita dua tahun lalu.
Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap Lim Ah Kau @ Lim Ho Cheng selepas mendapati tertuduh bersalah berikutan perbicaraan penuh.
Lim disabitkan kesalahan menggunakan kekerasan jenayah terhadap wanita berusia 31 tahun itu dengan niat mencabul kehormatannya di sebuah tokong pada jam 10 pagi, 29 Februari 2024.
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.
Sepanjang perbicaraan pihak pendakwaan memanggil enam saksi manakala pihak pembelaan mengemukakan dua saksi.
Mahkamah memerintahkan Lim menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh sabitannya.
Bagaimanapun pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Tinggi.
Ikat jamin tertuduh turut dinaikkan daripada RM2,000 kepada RM7,000 manakala syarat-syarat lain kekal.
Timbalan Pendakwa Raya Arfa Anchal Khan Muhammad Munir Khan ketika memohon hukuman yang bersifat pencegahan berkata kesalahan itu adalah serius memandangkan Lim merupakan seorang sami tokong serta individu yang dipercayai dan dihormati.
Katanya pengadu mendapatkan rawatan spiritual daripada tertuduh namun Lim telah menyalahgunakan kepercayaan tersebut untuk melakukan kesalahan berkenaan.
“Individu yang diberi kepercayaan untuk memberikan bimbingan spiritual sepatutnya melindungi dan menjaga maruah mereka yang mendapatkan bantuan, bukannya mengeksploitasi kepercayaan itu,” katanya sambil menegaskan penyalahgunaan kepercayaan sedemikian wajar dikenakan hukuman penjara yang bersifat pencegahan.
Dalam perkembangan lain seorang lelaki berusia 30 tahun didakwa melakukan transaksi pertaruhan haram.
Kenny Vun Chen Fah mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin atas pertuduhan melakukan kesalahan itu di sebuah kedai runcit di Inanam pada 20 Jun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 4 September untuk pengurusan kes praperbicaraan dan membebaskan tertuduh dengan ikat jamin RM1,200 dalam dua penjamin.
Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Yusdi Basri.






