Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Tak dinafikan ramai yang menggunakan pengangkutan awam seperti tren Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Deras (MRT), Keretapi Tanah Melayu (KTM) atau bas untuk ke tempat kerja bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Oleh itu, ada yang akan memandu sehingga ke stesen tertentu dan memarkir kenderaan mereka sebelum meneruskan perjalanan ke tempat kerja.
Tayar kereta dicuri sewaktu pulang dari kerja
Namun baru-baru ini seorang wanita mendakwa tayar keretanya telah dicuri sewaktu meninggalkan keretanya berdekatan kawasan parkir di Stesen LRT Laluan Shah Alam Aliran 3 (LRT3).
Menerusi hantaran yang dikongsikan oleh Nani Jismani di Threads, katanya dia menyedari perkara itu sewaktu pulang dari kerja.
Parkir kereta berbayar berhampiran LRT3 Bandar Bukit Tinggi
Jelas Nani, dia telah memarkir kereta Perodua Ativa miliknya berdekatan Stesen LRT3 Bandar Bukit Tinggi, Klang malah dia turut memaklumkan telah membayar parkir tersebut sebelum bergerak ke tempat kerja pada pagi semalam (17 Ogos).
Insiden tayar dicuri itu turut membuatkan Nani menyoal adakah kawasan tersebut tidak dijaga oleh mana-mana pihak sepatutnya.
“Saya baru balik daripada kerja dan menyedari tayar kereta kena curi seperti ini. Saya parkir di LRT3 Bukit Tinggi. Malah saya bayar untuk parkir tersebut pada pagi ini. Memang tak ada orang jaga ke? Korang yang parkir sini, jaga-jaga lah ya,” ujarnya.
View on Threads
2 buah tayar kereta sebelah kanan dicuri
Menerusi gambar yang dikongsikan oleh Nani, kelihatan dua buah tayar dia bahagian depan dan belakang sebelah kanan telah dicabut dan dicuri dari kenderaannya.
Bukan hanya itu, si pelaku turut meletakkan dua buah batu blok berdekatan tempat tayar dipercayai untuk memudahkan mereka mencuri tayar berkenaan.
Di ruangan komen, Nani menjelaskan hanya dua tayar yang dicuri namun terdapat kesan cubaan untuk mencuri tayar sebelah kiri kerana terdapat skru patah.
Laporan polis telah dibuat, insiden bukan berlaku dalam kawasan parkir seliaan Rapid KL
Namun menurut Nani ketika dihubungi BuzzKini insiden tersebut berlaku di kawasan parkir yang diselia oleh pihak ketiga dan bukan di bawah Rapid KL.
Dia bagaimanapun sudah membuat laporan polis berhubung insiden terbabit dan menanti pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lanjut.
Malah dia juga, sudah membuat aduan kepada Rapid KL bagi mendapatkan rakaman CCTV di kawasan berhampiran sewaktu insiden berlaku.
Kami sedang cuba untuk menghubungi pihak Rapid KL untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara ini.
Ramai bersimpati dan minta buat aduan kepada pihak berkuasa
Melihat di ruangan komen, ramai yang bersimpati dengan insiden yang menimpa Nani serta memintanya untuk membuat aduan kepada pihak berkenaan memandangkan ia adalah parkir berbayar.
Tidak kurang juga ada yang menyuruhnya membuat aduan agar boleh melihat rakaman litar tertutup (cctv) untuk mengesan si pelaku.
Ada juga berpendapat memakir kenderaan di kawasan Klang sememangnya mempunyai risiko yang tinggi khususnya di kawasan parkir yang baharu seperti LRT.
Malah ada yang menasihatkan Nani bahawa kes ini boleh dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan keadilan.
“Buat aduan dekat LRT3. Kenapa parkir berbayar pun boleh kena kebas. Mintak CCTV”

“Parkir kereta area Klang memang risiko tinggi nak-nak parking baru LRT TU”

“Cara paling teruk apabila balik dari kerja dan lihat perkara ini, dan empat tayar bukan murah”

“Banyak kawasan parkir macam ni. Mereka kutip duit tetapi beri alasan ‘parkir atas risiko sendiri'”






