KUANTAN – Seorang pendaki wanita dilaporkan cedera dan disyaki patah kaki selepas terjatuh semasa melakukan aktiviti mendaki di Bukit Fraser, Raub, pada Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, kejadian yang menimpa wanita berusia 43 tahun itu dilaporkan pada jam 12.13 tengah hari.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika mangsa melakukan aktiviti mendaki bersama 20 peserta lain yang diiringi oleh tiga jurupandu arah.
“Susulan panggilan yang diterima, 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub bersama seorang Malim Gunung Pahang dikerahkan untuk menjalankan operasi menyelamat mangsa.
“Anggota tiba di kaki bukit yang terletak 43 kilometer dari balai pada jam 1.40 tengah hari dan perlu mendaki sejauh 2.7 kilometer untuk ke lokasi mangsa berada,” katanya.
Mohd Salahuddin berkata, enam anggota bersama seorang malim gunung melakukan pendakian ke lokasi mangsa dengan jangkaan masa perjalanan antara dua hingga tiga jam.
“Operasi masih berjalan dan maklumat lanjut akan disalurkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.






