Risiko sangat tinggi, larangan ‘compressed’ wajar demi keselamatan pendaki

6 Jun 2026 • 11:34 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Risiko sangat tinggi, larangan ‘compressed’ wajar demi keselamatan pendaki
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita hilang, Jaslinda Saludin, 49, yang masih diteruskan dalam skala kecil. Foto JBPM Perak
Image from: Risiko sangat tinggi, larangan ‘compressed’ wajar demi keselamatan pendaki
Muzafar Mohamad berkata, pendekatan itu wajar kerana konsep pendakian secara compressed sangat berisiko tinggi berbanding ekspedisi biasa berikutan persediaan minimum serta penggunaan peralatan yang lebih ringkas.

TAPAH - Larangan terhadap aktiviti pendakian secara 'day hike' dan 'compressed hike' di tujuh laluan pendakian di Perak disifatkan bertepatan dengan keperluan semasa, khususnya dalam aspek keselamatan.

Malim Gunung Perhutanan (MGP) Perak, Muzafar Mohamad berkata, pendekatan itu wajar kerana konsep pendakian secara compressed sangat berisiko tinggi berbanding ekspedisi biasa berikutan persediaan minimum serta penggunaan peralatan yang lebih ringkas.

Menurutnya, pendaki biasanya membawa peralatan yang minimum kerana ingin bergerak pantas menyebabkan tempoh ketahanan mereka dalam situasi kecemasan menjadi sangat terhad.

"Risiko turut meningkat apabila pergerakan dalam kumpulan menjadi tidak terkawal berikutan peserta cenderung bergerak lebih laju sehingga jarak antara individu semakin jauh.

“Keadaan ini meningkatkan risiko peserta terpisah atau tersasar tanpa disedari rakan lain, terutama apabila keletihan mula menjejaskan fokus,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Jumaat, Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNP) mengeluarkan notis larangan aktiviti pendakian secara day hike dan compressed hike di beberapa laluan berisiko tinggi yang berkuat kuasa serta-merta.

Laluan terlibat ialah Gunung Korbu-Gunung Gayong yang memerlukan tempoh minimum pendakian selama tiga hari, selain laluan Trans Spencer Chapman melibatkan Gunung Bar Gading, Gunung Kak dan Gunung Batu Putih dengan tempoh minimum lima hari.

Turut tersenarai ialah laluan Trans Jerging (Gunung Suku-Gunung Irau), Trans Batu (Gunung Batu Putih-Gunung Batu Bujang-Gunung Kak-Gunung Batu Dara) dan Trans Slim (Gunung Liang East/West-Gunung Chondong Geliting-Gunung Tumang Batak) yang masing-masing menetapkan tempoh minimum tiga hari pendakian.

**media[3541865]**

Selain itu, laluan Trans Titiwangsa V1 melibatkan Gunung Korbu, Gunung Gayong dan Gunung Yong Belar memerlukan tempoh minimum lima hari, manakala laluan Trans Beratih yang merangkumi Bukit Berapit, Gunung Rayu dan Gunung Batu Putih ditetapkan selama empat hari.

Mengulas lanjut, Muzafar berkata, kebanyakan laluan berkenaan berada di kawasan pedalaman yang mempunyai kekangan dari segi liputan komunikasi sama ada telco mahupun radio amatur.

“Apabila berlaku kecemasan, kehilangan atau kemalangan, ia akan menyukarkan usaha mendapatkan bantuan dengan segera,” katanya.

Beliau yang merupakan Penyelaras Kerja Malim Gunung bagi operasi mencari pendaki wanita hilang, Jaslinda Saludin turut mendedahkan bahawa beberapa insiden kematian sebelum ini mempunyai kaitan dengan pendakian berkonsepkan compressed, termasuk di laluan Trans Jerging, Gunung Liang dan Gunung Yong Belar.

“Kita ambil contoh ekspedisi yang sepatutnya mengambil masa lima hari dipadatkan kepada sekitar 24 jam. Dari segi pencapaian mungkin nampak besar, tetapi dari sudut keselamatan, risikonya jauh lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui trend pendakian secara compressed semakin mendapat tempat dalam kalangan pendaki moden yang mempunyai kekangan masa, namun sering kali gagal mengambil kira perbezaan ketara antara latihan dan cabaran sebenar di kawasan pergunungan.

Katanya, latihan seperti jogging atau melakukan looping di kawasan berbukit tidak mampu mensimulasikan keadaan sebenar di gunung yang melibatkan suhu sejuk melampau, bentuk muka bumi yang ekstrem serta faktor alam semula jadi yang tidak menentu.

“Empat elemen utama perlu diberi perhatian dalam setiap aktiviti pendakian iaitu keupayaan malim, tahap kecergasan peserta, kesesuaian peralatan serta kondisi laluan.

“Pendaki mungkin rasa mereka sudah cukup bersedia dari segi kecergasan, tetapi mereka lupa faktor cuaca, vegetation dan tekanan fizikal sebenar di gunung yang jauh berbeza,” katanya.

Sementara itu, Muzafar memaklumkan bahawa beberapa negeri lain seperti Kelantan dan Pahang telah lebih awal memperkenalkan garis panduan ketat berkaitan tempoh pendakian.

“Kelantan antara yang terawal menetapkan tempoh pendakian, manakala Pahang pula melarang aktiviti bermalam di kebanyakan kawasan hutan simpan, kecuali Taman Negara,” jelasnya.