
TAWAU: Golongan wanita diminta tidak memendam masalah dan merasa bersendirian dalam menghadapi ujian kehidupan sebaliknya berani bertindak mendapatkan bantuan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Marhamah Rosli berkata wanita perlu memanfaatkan pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan menerusi jabatan dan agensi berkaitan.
“Ini termasuklah mendapatkan bantuan moral, kewangan dan pelbagai lagi perkhidmatan boleh dimanfaatkan oleh para wanita khususnya yang berdepan pelbagai tekanan dalam kehidupan masa kini.
“Wanita serta para ibu yang berdepan isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak juga diminta berani bertindak dan tidak menafikan masalah yang berlaku dalam keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Program Melangkah Bersama Madani: Wanita Luar Biasa, Inspirasi Mempersona pada Ahad.
Majlis yang dirasmikan Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Rina Jainal itu menyaksikan kehadiran 1, 000 wanita dari seluruh Sabah dan Labuan.
Dalam pada itu tegasnya wanita perlu tampil mendapatkan bantuan melalui saluran yang disediakan serta tidak memendam masalah kerana menganggap perkara tersebut merupakan satu aib sehingga akhirnya mengakibatkan isu berlarutan.
Marhamah berkata program terbabit bertujuan memberikan inspirasi dan aspirasi kepada wanita mengenai kepentingan membangunkan serta memperkasakan peranan mereka, selaras dengan nilai ihsan yang dibawa melalui inisiatif Malaysia Madani.
Sementara itu Rina berkata kerajaan Negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (Jhewa) menyediakan perkhidmatan advokasi serta khidmat guaman secara pro bono kepada wanita yang memerlukan bantuan, khususnya mereka yang berdepan krisis rumah tangga atau isu berkaitan syariah.
Dalam masa yang sama katanya beliau melihat kerjasama antara kementerian dan agensi perlu diperkukuh bagi mengelakkan pendekatan bekerja secara solo, sekaligus dapat memastikan sumber dan kepakaran sedia ada dapat dimanfaatkan secara berkesan.
Jelasnya kehadiran 1,000 peserta pada program itu turut berpotensi menjadi ejen penyampai maklumat mengenai bantuan dan perkhidmatan kerajaan kepada masyarakat, khususnya wanita di kawasan luar bandar yang memerlukan sokongan.
Selain isu kebajikan dan keselamatan kanak-kanak katanya kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri turut membolehkan program disesuaikan dengan keperluan semasa dalam menangani isu ekonomi wanita, kepimpinan wanita dan penglibatan wanita dalam politik.






