
Hussein berkata JSJN menerima maklumat daripada pihak Narcotics Control Bureau (NCB) India, berhubung penahanan wanita berkenaan.
BACHOK: Seorang wanita warga Malaysia berusia 22 tahun ditahan pihak berkuasa India, selepas didapati membawa dadah jenis ganja seberat 15 kilogram (kg) di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi (IGI), New Delhi, India pada 4 Sept.
Mengesahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata wanita berasal dari Perak itu, ditahan selepas pemeriksaan pihak Kastam India terhadap bagasi troli miliknya menemukan dadah berkenaan yang disembunyikan dalam 30 bungkusan.
“Wanita warga Malaysia ditahan bersama 15kg ganja di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi (IGI), New Delhi, India pada 4 Sept lepas,” katanya kepada Bernama hari ini.
Hussein berkata JSJN menerima maklumat daripada pihak Narcotics Control Bureau (NCB) India, berhubung penahanan wanita berkenaan.
Beliau berkata suspek menaiki penerbangan Batik Air OD205 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke New Delhi pada 4 Sept.
“Suspek kini ditahan pihak Kastam India dan akan disiasat mengikut Narcotic Drugs and Psychotropic Substances (NDPS) Act 1985 sementara menunggu perbicaraan kes,” katanya.
Hussein berkata suspek turut mempunyai satu rekod berkaitan dadah mengikut Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata JSJN akan terus berhubung dengan NCB India bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes berkenaan.






