Wanita muda sambung legasi kendali bot laju di Tasik Kenyir

19 Sep 2026 • 8:08 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Wanita muda sambung legasi kendali bot laju di Tasik Kenyir

HULU TERENGGANU: Minat mendalam terhadap bot laju sejak kecil mendorong seorang wanita meneruskan legasi perniagaan menguruskan lima buah kenderaan air itu bagi membawa pelancong meneroka keindahan Tasik Kenyir, di sini.

Nurul Nabila Ahmad Farid, 25, berkata, dia mengambil alih perusahaan berkenaan selepas pemergian neneknya, Fatimah Maznah Mamat pada 2021 dan kini menggalas tanggungjawab sebagai pengusaha bot laju pada usia muda.

“Sejak kecil saya sering melihat arwah nenek memandu bot laju sebagai sumber pendapatan. Waktu hujung minggu saya tidak ketinggalan mengikuti nenek membawa pelancong mengelilingi Tasik Kenyir.

“Pejam celik, hampir enam tahun saya menguruskan perkhidmatan bot laju untuk pelancong di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Katanya, daripada lima adik-beradiknya, hanya dia yang me­nunjukkan minat meneruskan perusahaan bot laju yang diwa­riskan arwah neneknya.

“Bagi saya, ini bukan hanya pekerjaan tetapi satu legasi ke­luarga yang mahu saya teruskan. Banyak kenangan saya bersama arwah nenek ketika membawa pelancong di Tasik Kenyir.

“Jadi, apabila diberi peluang menguruskan perniagaan ini, saya anggap ia sebagai tanggungjawab untuk meneruskan usaha yang telah dimulakan oleh arwah nenek,” katanya.

Nabila berkata, perkhidmatan bot laju miliknya kini dikendalikan bersama bapanya, sepupu, bapa saudara dan seorang pekerja bagi memenuhi permintaan pelancong.

Katanya, sambutan terhadap perkhidmatan bot laju di Tasik Kenyir semakin menggalakkan khususnya apabila semakin banyak pihak memilih menggunakan bot untuk meneroka destinasi pelancongan di kawasan berkenaan.

“Sejak sebulan lalu, bot milik saya turut disewa oleh sebuah syarikat penggambaran antarabangsa untuk urusan mereka di Tasik Kenyir. Alhamdulillah, saya sibuk menguruskan bot yang ditempah syarikat terbabit dan saya anggap ia rezeki,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, mengendalikan bot laju bukanlah tugas mudah kerana berdepan pelbagai cabaran termasuk keadaan cuaca yang tidak menentu.

Katanya, pengalaman berdepan ribut ketika membawa bot laju di Tasik Kenyir menjadi antara cabaran yang perlu ditempuh dalam memastikan keselamatan penumpang sentiasa diutamakan.

“Orang kata, itu asam garam. Semua pekerjaan ada cabaran. Yang penting kita perlu sentiasa berhati-hati dan mengutamakan keselamatan ketika membawa pelancong,” katanya.-UTUSAN.

The post Wanita muda sambung legasi kendali bot laju di Tasik Kenyir appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved