Warga asing didakwa aktif dalam penjualan rokok seludup - MAMBA

LocalBusiness & Finance
5 Jun 2026 • 1:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Warga asing didakwa aktif dalam penjualan rokok seludup - MAMBA
MAMBA mendakwa aktiviti penjualan rokok seludup semakin berleluasa, khususnya melibatkan warga asing. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Persatuan Perniagaan Mikro Malaysia (MAMBA) menggesa pihak berkuasa memperhebatkan penguatkuasaan terhadap aktiviti penjualan rokok seludup yang semakin berleluasa, khususnya melibatkan warga asing yang didakwa aktif dalam kegiatan berkenaan.

Gesaan itu dibuat susulan dapatan satu tinjauan yang menunjukkan 68.8 peratus pembeli rokok seludup mengenal pasti penjual sebagai warga asing, manakala 75 peratus responden berpendapat produk berkenaan mudah diperoleh di pasaran.

Presiden MAMBA, Tan Peng Beng berkata, dapatan itu mengesahkan aduan yang telah lama dibangkitkan oleh ahli-ahli persatuan di seluruh negara mengenai penglibatan warga asing dalam perdagangan rokok seludup.

“Warga asing didapati terlibat secara aktif dalam penjualan rokok seludup di kawasan kejiranan dan lokasi yang sama di mana peniaga mikro tempatan menjalankan perniagaan.

“Kini kita mempunyai data yang mengesahkan perkara itu dan ia memerlukan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas serta berterusan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, keadaan itu bukan sahaja menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan peniaga yang mematuhi undang-undang, malah menyebabkan kerugian kewangan yang ketara.

Katanya, peniaga sah terpaksa menanggung kos operasi, cukai dan lesen perniagaan, sedangkan penjual rokok seludup menawarkan produk serupa pada harga jauh lebih rendah tanpa mematuhi sebarang peraturan.

“Ini bukan soal persaingan perniagaan. Ia adalah satu bentuk ketidakadilan yang menjejaskan sumber pendapatan peniaga yang beroperasi secara sah,” katanya.

Dalam masa sama, Tan mengingatkan warga asing yang terlibat supaya tidak memandang ringan implikasi undang-undang kerana penjualan rokok seludup merupakan satu kesalahan jenayah yang boleh membawa kepada tindakan tegas termasuk penahanan, pembatalan permit kerja dan pengusiran dari negara ini.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan pihak berkuasa membuktikan aktiviti tersebut sentiasa dipantau.

Awal bulan ini, seorang warga Indonesia ditahan dalam serbuan di Kampung Indah, Selayang Baru selepas anggota Batalion 19 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 389 karton rokok seludup bernilai kira-kira RM95,000 yang dipercayai disimpan untuk tujuan pengedaran.

“Apabila tiga daripada empat pengguna menyatakan rokok seludup mudah diperoleh, ia menunjukkan rangkaian pengedarannya juga mudah dikenal pasti.

“Persoalannya bukan sama ada pihak berkuasa akan bertindak, tetapi bila tindakan itu akan diambil,” katanya.

Tan berkata, kesan perdagangan rokok seludup terhadap perniagaan mikro semakin membimbangkan kerana setiap pembelian yang dibuat daripada penjual haram menyebabkan peniaga sah kehilangan pelanggan dan pendapatan.

Menurut beliau, apabila keadaan itu berlaku secara berterusan kepada ribuan perniagaan di seluruh negara, ia boleh menjejaskan aliran tunai, meningkatkan tekanan kos operasi dan akhirnya menyebabkan sesetengah perniagaan terpaksa gulung tikar.

Pada masa sama, beliau berkata perdagangan tembakau haram turut memberi kesan besar kepada negara apabila Malaysia dianggarkan kehilangan kira-kira RM11.5 bilion hasil kerajaan dalam tempoh dua tahun, selain merekodkan kadar penguasaan pasaran rokok seludup tertinggi dalam kalangan negara ASEAN-6.

Tinjauan sama turut mendapati 87 peratus responden menyokong hukuman yang lebih berat terhadap individu yang terlibat dalam perdagangan rokok seludup.

Sehubungan itu, MAMBA menyeru agar penguatkuasaan di peringkat runcit diperkukuh melalui tindakan pendakwaan terhadap pesalah berulang serta pendekatan sifar toleransi terhadap mana-mana pihak yang terlibat, termasuk majikan atau individu yang melindungi aktiviti berkenaan.

“Ahli-ahli MAMBA berharap usaha penguatkuasaan yang konsisten dan berterusan dapat diteruskan demi melindungi perniagaan sah serta memastikan persaingan yang adil dalam pasaran,” katanya.

INFO:

- 68.8% penjual rokok seludup dikenal pasti sebagai warga asing.

- Malaysia rugi RM11.5 bilion akibat perdagangan tembakau haram.

- MAMBA gesa hukuman lebih berat terhadap penjual rokok seludup.

- Peniaga mikro tempatan terjejas akibat persaingan tidak adil.