
Polis menahan seorang lelaki berusia 62 tahun selepas dipercayai memukul jiran warga emas menggunakan sebatang besi di Jalan Perak, Pulau Pinang.
GEORGE TOWN: Polis menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan dan dipercayai memukul jirannya iaitu lelaki warga emas menggunakan sebatang besi hingga cedera parah di Jalan Perak, di sini hari ini.
Rakaman insiden pergaduhan itu turut tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata siasatan mendapati pergaduhan membabitkan lelaki, 62, itu dan mangsa warga tempatan, 80, berlaku pada 9.30 pagi di hadapan sebuah rumah.
“Akibat insiden tersebut, mangsa yang mengalami kecederaan parah pada bahagian tangan dan kaki itu kini menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.
“Siasatan awal mendapati insiden tersebut dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata polis telah menahan lelaki tersebut serta merampas sebatang besi yang dipercayai digunakan untuk memukul jirannya.
Abdul Rozak berkata lelaki itu akan direman esok bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata.
Terdahulu, video berdurasi 15 saat yang memaparkan seorang lelaki terbaring di hadapan sebuah rumah dipercayai mengalami kecederaan selepas dipukul jirannya tular di media sosial.






