
SHAH ALAM, 26 OKT: Lelaki warga China yang ditahan bersama dua kilogram (kg) kokain di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong dipercayai memperoleh dadah berkenaan daripada individu tidak dikenali di sebuah pasar raya di Pulau Pinang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata maklumat awal itu diperoleh susulan penahanan lelaki berusia 25 tahun berkenaan oleh Jabatan Kastam dan Eksais Hong Kong pada 22 Oktober lalu.
Menurutnya, suspek tiba di Hong Kong dari Pulau Pinang dengan menaiki penerbangan Cathay Pacific CX622.
Pemeriksaan terhadap bagasi daftar masuk suspek kemudian menemukan dadah disyaki kokain seberat dua kg.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek memperoleh dadah berkenaan daripada seorang individu tidak dikenali di sebuah pasar raya di Pulau Pinang.
“Suspek dipercayai berada di Malaysia selama tiga hari dan dijanjikan ganjaran RMB2,000 (RM1,200) bagi urusan berkaitan dadah itu,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Hussein berkata semakan turut mendapati pasport suspek baru dikeluarkan Oktober lalu dan tidak mempunyai rekod perjalanan lain.
Suspek sebelum itu ditahan Jabatan Kastam dan Eksais Hong Kong selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong Khamis lalu.
Siasatan awal setakat ini menjurus kepada maklumat bahawa dadah berkenaan diperoleh ketika suspek berada di Pulau Pinang sebelum dia berlepas ke Hong Kong.





