Lelaki warga China peroleh dadah di Pulau Pinang, terima upah RM1,200

26 Oct 2026 • 1:49 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

terkini

PETALING JAYA: Lelaki warga China yang ditahan bersama dua kilogram kokain di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong, Khamis lalu dipercayai memperoleh dadah itu daripada individu tidak dikenali di sebuah pasar raya di Pulau Pinang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, maklumat awal itu diperoleh susulan tangkapan lelaki berusia 25 tahun oleh Jabatan Kastam dan Eksais Hong Kong pada 22 Oktober lalu.

Katanya, suspek tiba di Hong Kong dari Pulau Pinang menaiki penerbangan Cathay Pacific CX622 sebelum pemeriksaan menemukan dadah disyaki kokain dalam bagasi daftar masuknya.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek memperoleh dadah berkenaan daripada seorang individu tidak dikenali di sebuah pasar raya di Pulau Pinang.

“Suspek dipercayai berada di Malaysia selama tiga hari dan dijanjikan ganjaran sebanyak RM 1,225 atau RMB 2,000 bagi urusan berkaitan dadah itu,” katanya kepada media di sini hari ini.

Hussein berkata, semakan mendapati pasport suspek baru dikeluarkan pada Oktober lalu dan tidak mempunyai rekod perjalanan lain.

Katanya, suspek juga mempunyai beberapa tempahan hotel walaupun dipercayai hanya berada di Malaysia dalam tempoh singkat.

“JSJN akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Hong Kong bagi mendapatkan butiran lanjut mengenai perkembangan kes.

“Ini termasuk maklumat berkaitan ahli sindiket yang mungkin berada di Malaysia,” katanya.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki warga China berusia 25 tahun ditahan Jabatan Kastam Hong Kong selepas ditemukan membawa dua kilogram dadah disyaki kokain di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong.

Suspek yang tiba dari Pulau Pinang pada Khamis lalu ditahan selepas pemeriksaan kastam menemukan dadah berkenaan dalam bagasi daftar masuknya.

Lelaki itu kemudian didakwa atas kesalahan mengedar dadah berbahaya dan dijadual dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kowloon Barat.

Mengikut undang-undang Hong Kong, kesalahan mengedar dadah berbahaya boleh membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup dan denda HK$5 juta jika sabit kesalahan. – UTUSAN

The post Lelaki warga China peroleh dadah di Pulau Pinang, terima upah RM1,200 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved