
KOTA BELUD: Seorang lelaki warga emas berusia 78 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Payas-Payas sejak petang Selasa ditemukan selamat dalam keadaan lemah pada petang Rabu.
Mangsa ditemui kira-kira 300 meter oleh penduduk kampung yang membantu misi mencari agensi pasukan penyelamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud Elge Bakuk berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 8.30 pagi, Rabu memaklumkan mengenai kehilangan mangsa sebelum sepasukan 10 anggota dikerah ke lokasi.
“Menurut maklumat yang diterima daripada anak mangsa, bapanya keluar dari rumah kira-kira jam 3 petang pada 28 Julai lalu sebelum tidak pulang ke rumah sehingga laporan dibuat kepada pihak bomba untuk mendapatkan bantuan operasi mencari dan menyelamat,” katanya.
Elge berkata pasukan bomba yang diketuai Masbi Peran tiba di lokasi pada jam 8.40 pagi selepas menempuh perjalanan sejauh lapan kilometer bagi menjalankan operasi pencarian bersama agensi berkaitan.
“Pada sebelah petang mangsa akhirnya berjaya ditemui oleh orang awam di kawasan Kampung Payas-Payas, kira-kira 300 meter dari kediamannya. Semasa ditemui mangsa ditemui selamat namun berada dalam keadaan lemah. Pasukan bomba segera memberikan bantuan dan seterusnya menghantar mangsa ke Hospital Kota Belud bagi mendapatkan rawatan lanjut,” jelasnya.
Operasi turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan melibatkan penggunaan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), Emergency Medical Rescue Services (EMRS) serta kenderaan pacuan empat roda Vigo.
Operasi mencari dan menyelamat (Sar) ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.38 petang selepas mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat.






