
KLUANG – Seorang pemandu maut manakala kelindan cedera selepas treler membawa muatan habuk kayu yang dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang dalam kejadian di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Lalang di Jalan Air Hitam di sini, hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Pegawai Bomba Kanan I Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 1.29 tengah hari.
Katanya, susulan dari kejadian itu seramai 15 anggota dikejarkan ke tempat kejadian bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan pacuan empat roda dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam dan Kluang.
“Siasatan mendapati treler berkenaan datang dari arah Ayer Hitam menuju ke Kluang sebelum terbabas ke dalam longkang. Seorang mangsa tersepit di bahagian pemandu.
“Pasukan keluaran operasi (PKO) bertindak meminta bantuan kren untuk mengangkat kepala treler tersebut untuk memudahkan kerja-kerja mengeluarkan mangsa,”katanya melalui kenyataan di sini.
Beliau berkata, pemandu, A. Shanmugam, 50, berjaya dibawa keluar dengan menggunakan peralatan khas namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir.
Ujarnya, mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala kelindan, G. Dana Gopal, 25, patah tangan. – KOSMO! ONLINE
The post Pemandu maut, kelindan cedera treler terbalik appeared first on Kosmo Digital.






