GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga emas parah selepas dipukul jirannya menggunakan batang besi dalam kejadian di Jalan Perak di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 9.55 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi ketika mangsa berusia 80 tahun berada di hadapan rumahnya.
“Mangsa dipercayai dipukul oleh jirannya, seorang lelaki berusia 62 tahun menggunakan sebatang besi.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian tangan dan kaki dan kini masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Abdul Rozak menambah, polis kemudiannya berjaya menahan suspek dan merampas batang besi yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut di rumahnya.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata.
“Punca kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek,” ujarnya.
Beliau berkata, suspek akan direman pada Isnin bagi membantu siasatan lanjut.
Terdahulu, tular video di media sosial berhubung kejadian berkenaan dan mendapat pelbagai reaksi daripada warganet.






