
NILAI: Adib Andhar Andan muncul wira baharu Sarawak apabila menghadiahkan dua pingat emas acara berbasikal trek pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 selepas menjuarai acara pecut individu lelaki di Velodrom Nasional Malaysia, hari ini.
Kemenangan itu melengkapkan misi hebat pelumba berusia 20 tahun berkenaan yang sehari sebelum ini terlebih dahulu menakluk acara keirin lelaki, sekali gus membawa pulang dua emas dalam penampilan terakhirnya di pentas SUKMA.
Adib memastikan emas pecut menjadi miliknya selepas menewaskan Ahmad Zharif Ahmad Nazri dari Johor dalam dua perlumbaan final berturut-turut, manakala Yu Jing Liang dari Selangor meraih gangsa selepas mengatasi Muhammad Luqman Haqim Ali Badrun dari Negeri Sembilan.
Lebih manis, dua emas tersebut menjadi sumbangan penting buat kontinjen Sarawak menerusi pelumba yang baru setahun serius memberikan tumpuan kepada disiplin trek, namun sudah berjaya mencipta impak besar di pentas domestik.
“Kalau bercakap mengenai prestasi, memang saya jangkakan boleh mendapat dua emas, John Beasley sendiri pernah berkata kepada saya, ‘Hi Adib, my eyes are on you’,” katanya.
Adib sebelum ini lebih banyak melalui pengalaman dalam acara lain sebelum mula serius di trek, malah perkembangan pantasnya turut dipacu pengalaman beraksi di pentas antarabangsa termasuk Piala Dunia dan Kejohanan Trek Asia (ACC).
Kejayaan berganda itu cukup bermakna buat Adib kerana ia hadir pada penampilan terakhirnya di SUKMA, selepas gagal menghadiahkan sebarang pingat kepada Sarawak ketika beraksi dalam acara lebuh raya pada temasya terdahulu di Sarawak.
“ Saya memang teringin sangat hendak masuk velodrom, ketika tengok Sukma di televisyen, saya pernah cakap kepada kawan, ‘Seronoknya berlumba di sini, nanti kau tengok aku di TV pula’, sekarang saya sudah berlumba di sini dan menang dua emas untuk Sarawak, Alhamdulillah,” katanya.
Impian yang dahulu hanya terbit ketika menyaksikan perlumbaan menerusi kaca televisyen itu kini menjadi kenyataan buat Adib, malah dia menutup penampilan terakhir SUKMA dengan pencapaian yang jauh lebih bermakna apabila dua acara trek yang disertainya berakhir dengan emas.
Sementara itu, Nur Alyssa Mohd Farid dari Johor turut muncul juara pecut individu wanita selepas menewaskan Yong Ann Tung dari Selangor dalam dua perlumbaan final, manakala Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak dari Pulau Pinang dan Nurain Syazwiena Fahmi dari Kedah masing-masing meraih gangsa. – UTUSAN
The post Adib hadiahkan emas berganda trek buat Sarawak appeared first on Utusan Malaysia.






