
SEMASA di sekolah rendah dahulu, saya kerap menaiki bas seorang diri dari Yong Peng, Johor ke Muar untuk mengunjungi kakak yang telah berkahwin dan menetap di sana.
Sepanjang perjalanan, saya sering melihat rumah Melayu tradisional bertiang di kiri dan kanan jalan. Ada yang kelihatan sederhana, namun tidak kurang juga yang menarik perhatian melalui warna, reka bentuk dan hiasannya.
Daripada pemerhatian itu, saya mendapati kebanyakan rumah Melayu tradisional dibina tinggi dari aras tanah dan mempunyai tangga serta beranda di hadapan. Anak tangganya pula diperbuat daripada kayu atau konkrit. Rumah-rumah tersebut lazimnya mengekalkan warna kayu, manakala sebahagiannya dicat hitam atau merah gelap.
Sebagai kanak-kanak berbangsa Cina, saya berasa kagum melihat keunikan kediaman berkenaan. Dalam hati, pernah terlintas, “Apabila besar kelak, saya mahu membina rumah seperti ini.”
Impian itu kekal sebagai kenangan. Saya tidak pernah membina kediaman seperti yang dibayangkan ketika kecil. Namun, pengalaman tersebut meninggalkan kesan yang mendalam. Kini, apabila mengimbas kembali zaman itu, saya sedar bahawa saya bukan sekadar tertarik kepada bentuk sebuah rumah tetapi turut menghargai keindahan budaya yang berbeza daripada latar sendiri.
Pernahkah kita memasuki sesebuah rumah lalu merasakan sesuatu sebelum mengenali penghuninya? Ada kediaman yang memberikan ketenangan, ada yang terasa ceria dan mesra, manakala sesetengahnya pula kelihatan kemas, moden atau eksklusif.
Perasaan itu mungkin dipengaruhi warna dinding, langsir, sofa, kusyen dan permaidani. Walaupun pemilihan warna sering dianggap soal cita rasa, budaya turut berperanan dalam membentuk persepsi terhadap ruang kediaman.
Kajian Youngsoon Park dan Denise A. Guerin dalam Journal of Interior Design yang membandingkan empat budaya iaitu Amerika Syarikat (AS), England, Korea dan Jepun, menunjukkan penilaian serta pemilihan warna dalaman mempunyai hubungan dengan latar budaya.
Kajian Lee Pin Ling dan Thomas Chow pula menjelaskan warna yang sama boleh membawa perkaitan budaya dan kesan emosi berbeza dalam bahasa Melayu dan bahasa Cina.
Dalam konteks Malaysia, perkara ini menarik kerana kita hidup dalam masyarakat berbilang budaya. Cara seseorang melihat rumah dan menghias ruang kediaman mungkin berbeza mengikut latar, pengalaman serta nilai kehidupan.
Seorang rakan Cina pernah berpendapat sesetengah keluarga Melayu yang dikenalinya lebih menitikberatkan langsir, perabot, warna dan hiasan. Kediaman mereka kelihatan berwarna-warni, mesra dan santai. Sebaliknya, katanya, sesetengah keluarga Cina lebih mengutamakan perabot tahan lama serta ruang yang praktikal.
Namun, pemerhatian seperti itu tidak boleh dianggap sebagai gambaran mutlak. Setiap individu mempunyai cita rasa tersendiri. Generasi, pendapatan, pendidikan, lokasi dan pengalaman hidup turut mempengaruhi pilihan seseorang.
Begitu juga tanggapan terhadap kediaman. Rumah berwarna-warni mungkin dianggap mencerminkan keceriaan, manakala ruang minimalis pula boleh dikaitkan dengan sifat pragmatik. Hakikatnya, semua itu sekadar persepsi dan tidak semestinya menggambarkan keperibadian penghuni.
Kini, pengaruh media sosial pula mendedahkan generasi muda kepada reka bentuk global seperti warna neutral, gaya minimalis dan konsep terbuka. Namun, kemodenan tidak semestinya menghapuskan budaya. Sebaliknya, unsur tradisi boleh terus hidup melalui penyesuaian mengikut zaman.
Budaya tidak hanya terserlah melalui bahasa, makanan, pakaian atau perayaan. Ia juga dapat dilihat melalui langsir, warna dinding, susunan perabot dan cara kita membentuk sebuah ruang sebagai tempat berlindung.
Warna tidak menentukan bangsa. Manusialah yang memberikan makna kepada warna. Begitu juga rumah, ia bukan sekadar tempat tinggal tetapi turut menjadi cerminan pengalaman, nilai dan budaya penghuninya. –UTUSAN
PENULIS ialah seorang penulis bebas.
The post Warna rumah mencerminkan budaya appeared first on Utusan Malaysia.






