PRN Melaka: BN cari formula sesuai raih kemenangan

LocalPolitics
23 Aug 2026 • 10:19 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PRN Melaka: BN cari formula sesuai raih kemenangan

KOTA TINGGI: Barisan Nasional (BN) masih mencari formula yang tepat untuk diguna pakai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi memastikan parti mampu memperoleh kemenangan seterusnya membentuk kerajaan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setakat ini masih belum diputuskan formula yang ingin digunakan kerana perlu mengambil kira pelbagai kriteria.

Mohamed Khaled memberi bayangan sama ada akan bergerak solo seperti PRN Johor atau mengadakan kerjasama dengan parti lain seperti di PRN Negeri Sembilan.

“Kalau di (PRN) Johor itu, BN bergerak secara solo, bertanding atas kekuatan jentera dan rekod pentadbirannya manakala di Negeri Sembilan, ia menunjukkan satu formula kerjasama. 

“Manakala di Melaka kita belum putuskan, tetapi tidak ada formula yang sama bagi setiap negeri. Itu akan ditimbang, dilihat kepada soal-soal kriteria-kriteria yang ada nanti bila kita bincangkan.

“Inilah keadaan politik kita pada hari ini iaitu satu keadaan fasa politik yang semakin cair, semakin anjal, dan sukar untuk diramal dan tak boleh pakai formula lama kalau di negeri begini, di Pusat pun mesti begitu, tak ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran Barisan Nasional Kota Tinggi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini malam tadi.

Kelmarin, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata, gabungan itu bersedia untuk bergerak secara solo atau bekerjasama dengan parti lain, di samping menyerahkan kepada BN untuk menentukan hala tuju gabungan berkenaan.

Katanya, Melaka kini berada di bawah pentadbiran kerajaan BN dan parti itu bebas untuk memilih mana-mana rakan kerjasama politik mereka.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled mengingatkan semua ketua bahagian untuk terus bekerja bagi membuat persiapan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) yang mungkin boleh berlangsung lebih awal.

Katanya, jentera parti tidak boleh membuat andaian undi yang diperoleh masa PRN membolehkan kita mendapat undi yang sama masa PRU. 

“Walaupun kita meraikan kemenangan di kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) Johor Lama dan Sedili pada malam ini, itu tidak boleh menjadikan kita begitu yakin keputusan yang sama akan kita dapati untuk PRU. 

“Sebab kita pernah lalui pada tahun 2022, kita menang besar pada PRN Johor tetapi masuk PRU, BN hanya menang sembilan kerusi di negeri ini. Justeru, kita tak boleh terlalu yakin dan perlu membuat persediaan rapi,” ujarnya.-UTUSAN

The post PRN Melaka: BN cari formula sesuai raih kemenangan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved