Waze Buat Hal Lagi, Bawa Warga Emas Ke Ladang Kelapa Sawit Hingga Sesat Berjam-Jam Lamanya

LocalTechnology
8 Apr 2025 • 11:15 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Kecanggihan teknologi pada masa kini harus diakui sememangnya memudahkan kehidupan seharian.

Lihat sahajalah, banyak aktiviti dan urusan individu menjadi mudah dek kerana kemajuan teknologi ini.

Contohnya, jika suatu ketika dahulu orang ramai merujuk kepada peta dan papan tanda sebagai petunjuk arah.

Kini dengan hanya satu klik, individu hanya perlu menggunakan aplikasi navigasi seperti Waze serta Google Maps untuk mendapatkan panduan ke tempat yang dituju.

Walaupun nampak mudah, teknologi sebegini kadangkala boleh menyusahkan pengguna antaranya seperti membawa ke laluan yang ‘agak’ pelik.

Waze Bawa Warga Emas Masuk Dalam Ladang Kelapa Sawit, Kereta Tersangkut Dalam Lumpur

Siapa sangka, aplikasi Waze yang sepatutnya menjadi panduan menuju ke sesuatu destinasi bertukar menjadi pengalaman yang mencemaskan bagi seorang warga emas, Pauzi Ismail.

Semuanya gara-gara aplikasi berkenaan yang menyebabkan dia sesat sehingga masuk ke kawasan sebuah ladang kelapa sawit.

Lebih malang, kereta Proton Iswara yang dipandu oleh Pauzi yang berusia 70 tahun turut terkandas dalam lumpur di kawasan Benta, Pahang hingga dia terpaksa meminta bantuan kerana hari semakin gelap.

Pandu Sendiri Kereta, Guna Waze Untuk Elak Jalan Sesak

Difahamkan, warga emas berkenaan memandu kenderaannya secara sendirian dari Gua Musang, Kelantan untuk pulang ke rumah di Penawar, Johor pada Khamis (3 April) lalu.

Malah, dia memilih menggunakan aplikasi Waze untuk mengelak kesesakan jalan raya namun segalanya bertukar menjadi detik mendebarkan akibat tersesat beberapa jam dalam ladang kelapa sawit.

Warga Emas Gerak Berasingan Dengan Ahli Keluarga, Lawat Adik Sendiri Di Gua Musang

Berkongsi kisah itu dengan lebih lanjut, anak warga emas berkenaan yang dikenali sebagai Jurasmadi Pauzi menjelaskan, kejadian berlaku pada hari raya keempat dan mereka sekeluarga bergerak dengan dua kereta.

Ibunya menaiki kenderaannya manakala Pauzi memandu sendirian ke Hospital Gua Musang untuk melawat adiknya di sana.

Walau bagaimanapun, kerana kesesakan jalan raya, mereka terpisah dan bapanya tiba terlebih dahulu di hospital berkenaan sebelum bergerak pulang ke Johor kira-kira jam 5 petang manakala Jurasmadi pulang ke Kuala Lumpur.

“Sekitar jam 6 petang saya menerima panggilan daripada sepupu memberitahu dia menerima panggilan bomba Pahang memaklumkan ayah tersesat di ladang sawit dan tidak mengetahui lokasi sebenar.

“Saya dan adik cuba menghubungi ayah dan meminta dia berkongsi lokasinya menggunakan telefon bimbit itu namun ayah tidak tahu cara untuk melakukannya,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.

Sukar Kesan Lokasi Bapa Dengan Tepat, Tiada Petunjuk Yang Boleh Dikongsi

Tambah pemuda itu lagi, pelbagai cara yang digunakan bagi mendapatkan lokasi sebenar bapanya.

Ia termasuklah membuat panggilan video namun segalanya gagal kerana warga emas berkenaan tidak dapat memberi sebarang petunjuk seperti nama jalan, rumah penduduk, masjid dan bangunan terakhir yang dilalui.

“Ayah beritahu dia hanya ikut sahaja arah Waze yang ditunjukkan itu tanpa melihat sekelilingnya.

“Mujur selepas menyedari tersesat ayah membuat panggilan kecemasan 999 dan ketika itulah baru kami mengetahuinya selepas bomba menghubungi sepupu,” kongsinya lagi.

Anak Cari Bapa Berdasarkan Background Pada Panggilan Video Dengan Bantuan Orang Kampung

Kongsi Jurasmadi lagi, keadaan mula menjadi cemas selepas bateri telefon bapanya semakin lemah namun warga emas itu masih gagal berkongsi lokasi yang tepat kerana tidak mahir dengan teknologi.

“Malah ketika panggilan video itu pegawai polis dan bomba turut melihat bayang orang lain berada di tempat duduk penumpang sedangkan ayah ketika itu bersendirian.

“Mujur selepas beberapa jam ayah berjaya menghantar lokasinya namun tidak beberapa tepat menyebabkan pihak polis bertanya kepada penduduk kampung sama ada mengetahui ladang kelapa sawit di kawasan itu,” katanya.

Cerita pemuda itu, penduduk kampung yang melihat gambar tersebut mendapati pokok kelapa sawit itu sudah terlalu tua dan tinggi. Malah, mereka memberitahu ladang tersebut sudah lama tidak digunakan.

“Dengan bantuan penduduk kampung yang masuk ke ladang kelapa sawit itu menunggang motosikal akhirnya berjaya menemui ayah jam 10.02 malam,” katanya.

Source: