Westports berpotensi sertai FBM KLCI, ganti Sime Darby - CIMB Securities

14/07/2025 - 15:32
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 14 Julai - Westports Holdings Bhd berpotensi untuk tersenarai sebagai antara konstituen dalam FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dalam semakan akan datang menggantikan Sime Darby Bhd kerana kedudukan modal pasarannya (market cap) telah melepasi ambang kelayakan bagi 25 syarikat permodalan besar.
Pengumuman semakan FBM KLCI yang seterusnya dijadualkan pada 4 Disember 2025 dan akan berdasarkan harga penutupan saham pada 24 November 2025. Sebarang perubahan dalam komponen indeks akan berkuat kuasa pada 22 Disember 2025.
CIMB Securities memaklumkan, berdasarkan data penutupan pasaran pada 10 Julai 2025, Westports telah meningkat ke kedudukan ke-24 dari segi permodalan pasaran dalam kalangan sekuriti Pasaran Utama yang layak.
“Syarikat ini berpotensi ditambah ke dalam KLCI pada semakan seterusnya, dengan syarat ia mengekalkan kedudukan 25 atau lebih tinggi dalam kalangan sekuriti yang layak pada 24 November, iaitu tarikh tutup.
“Pada masa ini, jurang permodalan pasaran antara Westports dan Nestle Malaysia (sekuriti layak yang menduduki tempat ke-26) adalah sebanyak 6.3%.
"Jika Westports ditambah, kami percaya Sime Darby, yang kini mempunyai permodalan pasaran terendah di kalangan komponen KLCI sedia ada, boleh dikeluarkan untuk memberi ruang,” katanya dalam satu nota kajian.
Selain memenuhi syarat permodalan pasaran, CIMB Securities berkata, sekuriti juga mesti mempunyai 15% saham syarikat yang boleh didagangkan secara terbuka dan lulus ujian saringan kecairan untuk layak dimasukkan ke dalam KLCI.
Pengendali pelabuhan MMC Port Holdings Bhd dilaporkan semakin hampir dengan apa yang boleh menjadi penawaran awam permulaan (IPO) terbesar di Malaysia dalam tempoh 13 tahun, susulan penyerahan draf prospektus kepada Suruhanjaya Sekuriti, seperti yang diterbitkan di laman web pengawal selia tersebut.
Menurut Peraturan Asas Siri Indeks FTSE Bursa Malaysia, syarikat yang baru disenaraikan boleh layak untuk dimasukkan ke dalam KLCI jika permodalan pasaran penuhnya sekurang-kurangnya dua peratus daripada jumlah permodalan pasaran Indeks FBM Emas, berdasarkan harga penutupan pada hari dagangan pertamanya.
“Jika syarat ini dipenuhi, saham tersebut akan dimasukkan ke dalam KLCI pada penutupan hari dagangan kelima. Sehingga 10 Julai 2025, permodalan pasaran Indeks FBM Emas adalah sebanyak RM1,626.6 bilion, yang bermaksud IPO dengan permodalan pasaran sekurang-kurangnya RM32.53 bilion akan memenuhi had kemasukan pantas,” kata CIMB Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, perubahan berpotensi dalam KLCI boleh merangsang minat yang meningkat terhadap saham-saham yang berkemungkinan akan dimasukkan, didorong oleh aliran masuk dana pasif, manakala saham-saham yang berisiko dikeluarkan mungkin akan menghadapi tekanan jualan.
FTSE dan Bursa Malaysia dijadualkan mengumumkan keputusan awal semakan KLCI pada 3 Disember 2025 melalui notis teknikal, iaitu sehari sebelum pengumuman rasmi pada 4 Disember 2025.- DagangNews.com
standard
