Sehingga hari ini saya masih tertanya-tanya kenapa orang ramai di Malaysia lebih gemar menggunakan WhatsApp, sedangkan Telegram adalah aplikasi pemesejan yang terbaik yang lengkap dengan pelbagai ciri dan fungsi menarik. WhatsApp hanya secara perlahan satu demi satu menyalin ciri yang sudah lama ada pada Telegram. Jika anda sukar untuk beralih ke Telegram, WhatsApp kelak akan menyokong emoji beranimasi.

Ya, ia adalah ciri yang sudah bertahun ada dalam Telegram. Tahun lepas WhatsApp menguji untuk peranti Android dan terbaru menurut WABetaInfo, emoji beranimasi ini turut akan ditawarkan kepada pengguna iPhone. Setiap emoji ini juga adalah daripada WhatsApp sendiri dan tidak menggunakan emoji yang tersedia dalam iOS. Pilihan emoji juga terhad kerana menurut sumber, WhatsApp memilih emoji yang paling kerap digunakan.
Bila ciri ini akan ditawarkan kepada semua pengguna masih tidak pasti. Buat masa ini ia terhad kepada pengguna beta sahaja. Sama-sama kita nantikan untuk memeriahkan lagi ruang sembang WhatsApp.

